Berita

Segera mohon ekstradisi Sirul selepas RUU mansuh hukuman mati lulus

Kerajaan Malaysia perlu segera membuat permohonan rasmi kepada kerajaan Australia bagi mengektradisi Sirul Azhar Umar jika usul Rang undang-undang pemansuhan hukuman mati mandatori diluluskan di Parlimen, kata Ahli Parlimen Bukit Gelugor, Ramkarpal Singh

Mengikut undang-undang Australia, Sirul, yang disabitkan membunuh wanita warga Mongolia, Altantuya Shaaribu, tidak boleh dihantar pulang ke Malaysia kerana berhadapan dengan hukuman mati.

Hukuman Sirul juga harus dikaji semula dan penalti yang paling keras sepatutnya dikenakan ke atasnya berdasarkan sifat jenayahnya,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Liew Vui Keong bahawa ketika ini proses kajian hukuman mati berada di peringkat akhir sebelum dibentang kepada Kabinet dan seterusnya dibawa ke Parlimen.

“Kajian ini sudah dalam peringkat akhir dan saya yakin sekiranya sempat, kita akan bentangkan rang undang-undang ini pada hujung tahun ini untuk dimansuhkan atau tidak.

“Ini adalah perkembangan penting bagi negara. Saya sebenarnya berharap ianya akan mendapat kelulusan supaya rang undang-undang pemansuhan dapat segera dibentangkan pada sidang kali ini di Parlimen,” katanya seperti media.

Sirul dijatuhi hukuman gantung sampai mati pada 2009 bersama-sama seorang lagi bekas anggota polis, Azilah Hadri.

Mereka dibebaskan apabila Mahkamah Rayuan membatalkan sabitan pada 2013 selepas menimbulkan persoalan tentang cara bagaimana perbicaraan dijalankan.

Bagaimanapun Mahkamah Persekutuan mengekalkan hukuman mati ke atas mereka pada 2015.

Sirul melarikan diri ke luar negara sebelum penghakiman itu dibuat dan ditahan di pusat tahanan imigresen Australia di Sydney sepanjang tiga tahun lepas. – Roketkini.com