Berita

Kemasukan pelajar tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan dipermudahkan

Proses kemasukan kanak-kanak tanpa kerakyatan ke sekolah kerajaan akan dipermudahkan, kata Timbalan Menteri Pendidikan Teo Nie Ching.

Menurunya, mereka hanya perlu mengemukakan sama ada sijil lahir, surat anak angkat atau perintah mahkamah untuk diterima masuk belajar.

Bagi yang tidak memiliki dokumen berkenaan, katanya, mereka boleh mendapatkan pengesahan daripada ketua masyarakat atau wakil rakyat masing-masing.

Mereka juga dibenarkan untuk mengambil peperiksaan umum UPSR, SPM dan STPM, tambahnya.

“Langkah ini diambil kerana kerajaan berhasrat memberi pendidikan formal kepada semua kanak-kanak,” katanya seperti dipetik Bernama sambil menambah bahawa kanak-kanak tanpa kerakyatan boleh mendaftar untuk bersekolah di sekolah kerajaan jika salah seorang ibu bapanya warganegara Malaysia serta memiliki sijil lahir.

Katanya keputusan itu akan diguna pakai pada sesi persekolahan Januari tahun hadapan dengan syarat ibu bapa perlu mengemukakan dokumen yang berkaitan dalam tempoh dua tahun.

Sementara itu, Ahli Parlimen Seri Iskandar, Lim Kit Siang berkata pengumuman oleh Nie Ching itu adalah sebahagian khabar gembira dan perkembangan penting dalam proses pembinaan Malaysia baharu.

“Berita baik dan kejayaaan hebat yang diumumkan oleh Nie Ching adalah Malaysia Baharu yang mahu kita bina – Malaysia Baharu dengan penuh belas kasihan dan penekanan yang lebih besar terhadap hak asasi manusia – selepas keputusan bersejarah Pilihan Raya Umum Ke-14 pada 9 Mei 2018,” katanya dalam kenyataan, hari ini. – Roketkini.com