Rencana

Setpol Kit Siang sambut baik keputusan kerajaan gantung Akta Hasutan

Keputusan Jemaah Menteri dalam isu pemansuhan hukuman mati dan penggantungan pelaksanaan Akta Hasutan selari dengan Malaysia Baharu.

1. Saya mengalu-alukan keputusan Jemaah Menteri dalam 2 perkara:

a. Pemansuhan semua jenis hukuman mati; dan
b. Penggantungan pelaksanaan Akta Hasutan 1948 (“Akta Hasutan”).

2. Saya mengulangi sekali lagi bahawa Akta Hasutan adalah undang-undang anti-demokratik yang mengekang kebebasan asasi rakyat Malaysia. Oleh itu, keputusan Jemaah Menteri untuk menggantung pelaksaan Akta tersebut adalah keputusan yang betul.

3. Mengenai pemansuhan semua jenis hukuman mati pula, keputusan ini selari dengan prinsip bahawa setiap nyawa itu bernilai. Setiap orang mempunyai hak asasi untuk bernyawa dan menjalani kehidupan dan mana-mana kerajaan tidak berhak untuk mengambil nyawa seseorang.

4. Pendukung hukuman mati seringkali mengatakan bahawa hukuman tersebut dilaksanakan sebagai deteren kepada masyarakat. Namun demikian, dakwaan ini telah berkali-kali dibuktikan salah dan tidak ada bukti kukuh bahawa hukuman mati adalah lebih berkesan dalam mengurangkan jenayah berbanding hukuman penjara seumur hidup.

5. Di samping itu, dalam sistem keadilan jenayah yang tidak sempurna dan tidak dapat menjamin keputusan yang tepat setiap masa, pemansuhan hukuman mati memberi ruang dan peluang untuk memperbetulkan keadaan sekiranya terdapatnya kekhilafan dalam sabitan.

6. Oleh itu, saya melihat keputusan ini sebagai suatu bentuk pelaksanaan kata-kata Perdana Menteri sewaktu Perhimpunan Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) ke-73 tempoh hari, di mana beliau menekankan tentang Malaysia Baharu yang membenci peperangan dan keganasan serta mendukung hak asasi manusia. – Roketkini.com

*Kenyataan media Syahredzan Johan, Setiausaha Politik Ahli Parlimen Iskandar Puteri, pada 12 Oktober 2018 di Kuala Lumpur.