Rencana

Guan Eng perjelas tuduhan Najib

Bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak meneruskan serangan tidak berasas terhadap saya, bukan sahaja terhadap pendedahan keadaan kewangan negara, malah prestasi saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang. Najib mendakwa kejayaan yang saya capai dalam memulihkan prestasi kewangan negeri Pulau Pinang sehingga menjadi yang terbaik di Malaysia, adalah kerana kepakaran saya dalam bidang penjualan tanah kerajaan.

Najib turut mendakwa yang saya telah menyatakan bahawa cukai jualan dan perkhidmatan (SST) akan menghasilkan pengurangan harga barangan, tetapi sehingga sekarang beliau gagal menunjukkan sebarang bukti. Saya telah nyatakan bahawa kesan dari kenaikan harga barang menerusi pelaksanaan SST adalah jauh lebih ringan berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST) memandangkan cukai yang dikutip Kerajaan Persekutuan kurang sebanyak RM23 bilion berbanding tempoh sebelum GST dimansuhkan. Bayangkan beban harga barang tinggi yang terpaksa dipikul oleh pembayar cukai sekiranya GST masih berkuat kuasa, kerana pembayar cukai  perlu bayar tambahan RM23 bilion tersebut.

Serangan peribadi Najib ke atas diri saya menunjukkan beliau terdesak memandangkan kenyataan-kenyataan yang dikeluarkan tidak lagi berasaskan fakta dan realiti. Kedudukan kewangan Kerajaan Persekutuan bukan sahaja telah diaudit oleh Ketua Audit Negara, dan disahkan oleh Akauntan Negara tetapi juga tidak disangkal oleh institusi antarabangsa.

Hutang Kerajaan Persekutuan telah meningkat kepada lebih daripada RM1 trilion akibat keborosan, salah guna kuasa dan penyembunyian kos sebenar RM 50 bilion 1MDB, dan  skandal-skandal kewangan lain seperti skandal saluran paip berjumlah RM9.4 bilion, yang melibatkan pembayaran 88% atau RM8.3 bilion walaupun kemajuan kerja hanya 13%, atau projek MRT3 bernilai RM31.5 bilion yang dikurangkan sebanyak RM15 bilion kepada kos yang disemak semula berjumlah RM16.5 bilion.

Kenaikan mendadak kos projek-projek mega seperti East Coast Rail Link (ECRL) berjumlah RM 81 bilion, skandal kewangan di Felda atau kelulusan kontrak memasang gelas kalis-peluru di Kementerian Kewangan yang berjumlah lebih dari RM 6 juta tidak dapat dinafikan oleh Najib. Najib juga tidak boleh menafikan bahawa hanya RM450 juta (disahkan oleh Akauntan Negara) yang ditinggalkan kepada kerajaan baru pada 30 April 2018 dalam Akaun Hasil Disatukan untuk pembayaran gaji dan pencen bulanan berjumlah RM8 bilion, atau kegagalan BN membuat pembayaran balik GST yang berjumlah RM19.4 bilion dalam masa 2 tahun, atau kegagalan BN membuat pembayaran balik cukai berjumlah RM16 bilion selama 6 tahun.

Najib juga silap dalam menyatakan prestasi kewangan negeri Pulau Pinang yang selama 10 tahun ini mencatatkan bajet lebihan setiap tahun, pengurangan hutang negeri sebanyak 90% serta peningkatan rizab aset sebanyak 140% adalah disebabkan oleh penjualan tanah kerajaan untuk keuntungan. Kerajaan Pakatan Pulau Pinang hanya menjual 106 ekar atau kurang dari 36 kali ganda berbanding dengan 3,661 ekar tanah yang dijual oleh kerajaan BN sebelum ini.

Keuntungan yang dikaut oleh Kerajaan Pakatan melalui penjualan tanah melalui tender terbuka jauh lebih besar, berbanding dengan penjualan yang dilakukan oleh Kerajaan BN melalui rundingan terus, meskipun tanah yang dijual Pakatan adalah 36 kali ganda lebih kurang berbanding dengan tanah yang dijual Kerajaan BN. Hasil dari penjualan tanah oleh Kerajaan Pakatan disalurkan untuk projek perumahan mampu milik, dan baki yang digunakan hanya 10.4% dari perbelanjaan negeri. Jadi, dakwaan bahawa hasil dan lebihan kerajaan negeri hanya datang dari penjualan tanah adalah tidak benar.

Sebagai contoh, tanah yang ditebus semula berhampiran Persiaran Gurney di Pulau Pinang dijual oleh Kerajaan BN pada harga RM1 setiap kaki persegi, dan 10% tanah yang ditebus semula diberikan kepada kerajaan negeri. Di bawah kerajaan Pakatan Pulau Pinang, kadar pemberian tanah yang ditebus sebanyak 10% telah dirunding semula dan dinaikkan kepada 20% untuk kerajaan negeri. Begitu juga dengan hasil jualan tanah yang ditebus berhampiran Butterworth, hanya 5% hasil jualan oleh kerajaan BN diberikan kepada kerajaan negeri. Sekali lagi, Kerajaan Pakatan membuat rundingan semula dan meningkatkan harga tanah yang ditebus di Butterworth dari 5% hingga 35%, atau 7 kali ganda lebih tinggi diberi kepada kerajaan negeri.

Malangnya bagi Kerajaan BN, skandal 1MDB membebankan rakyat Malaysia dengan hutang RM50 bilion tanpa membawa sebarang manfaat kepada rakyat, sama ada dalam bentuk tunai atau aset tanah. Kerajaan Pakatan tidak akan menggadaikan negara kepada orang asing, dan tidak akan terlibat dalam penjualan aset kerajaan pada kadar yang rendah, tetapi memastikan kita akan mendapatkan nilai tertinggi melalui proses tender terbuka. – Roketkini.com

*Kenyataan media oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 17 Oktober 2018.