Berita

Artikel ISMA fitnah, putarbelit kenyataan Kasthuri Patto

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto kesal dengan tindakan Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) memutar belit kenyataannya berhubung retifikasi enam perjanjian Pertubuhan Bangsa Bersatu berkaitan hak asasi manusia.

Artikel bertajuk ‘Ahli Parlimen DAP desak hak kebebasan murtad, ajaran sesat’ yang disiarkan di laman Ismaweb pada Selasa lalu, mendakwa Kasthuri kononnya mempersoal kedudukan Islam.

“Saya membahas polisi luar negara yang dibentangkan Menteri Luar Negeri (Datuk Saifuddin Abdullah)… saya bahaskan kepentingan Malaysia menandatangani konvensyen kebebasan agama dan kepercayaan bagi melindungi kepercayaan dan agama pihak minoriti.

“Saya tak pernah sekalipun menyebut atau menghina agama Islam, malah ucapan saya mengikut Perlembagaan iaitu agama Islam agama rasmi negara.  Saya terkilan dan terperanjat apa yang dipaparkan dalam Ismaweb,” jelas Kasthuri kepada media, baru-baru ini.

Mengakui bimbang dengan keselamatan dirinya ekoran menerima kecaman di media sosial berikutan penerbitan artikel tersebut, Kasthuri justeru mendesak Ismaweb menarik semula tulisan tersebut dalam tempoh 48 jam bermula semalam.

“Sekiranya tidak ada tindakan, saya akan membuat laporan polis dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya menyifatkan tulisan tersebut sebagai fitnah jahat terhadapnya.

Mengulas perkara sama, Ahli Parlimen Hulu Langar, Hasanuddin Mohd Yunus berkata, jika Kasthuri menghina Islam atau mencabar Perlembagaan, sudah tentu beliau serta ahli Parlimen lain termasuk PAS dan PKR sudah membuat teguran.

“Dengan menukar tajuk seperti ini, ia memberikan pandangan dan suasana negatif dalam Parlimen sedangkan perkara ini tidak berlaku,” katanya dipetik media.

Pada Julai, Saifuddin Abdullah telah berjanji untuk berusaha meratifikasi enam konvensyen hak asasi manusia antarabangsa.

Malaysia belum lagi menandatangani Konvensyen Antarabangsa Menentang Segala Bentuk Diskriminasi Kaum, Perjanjian Antarabangsa Hak Sivil dan Politik dan Konvensyen Pertubuhan Bangsa Bersatu Menentang Penderaan dan Perlakuan atau Hukuman Lain yang Kejam, Tidak Berperikemanusiaan atau Menjatuhkan Martabat. – Roketkini.com