Berita

Kerajaan terpaksa tanggung hampir RM1.7 bilion faedah hutang 1MDB – Guan Eng

Kerajaan Malaysia terpaksa mengeluarkan sejumlah RM1.688 bilion bagi membayar faedah hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada tahun ini, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Menurutnya, jumlah tersebut termasuk dua lagi pembayaran berjumlah RM217.51 untuk bon Projek Loji Tenaga Kuala Langat 1MDB dan RM143.75 juta bagi sukuk Islamik nota jangka sederhana (IMTN), yang akan dibuat pada bulan depan.

“Hari ini, kita bayar RM208.8 juta untuk faedah Projek Loji Tenaga Kuala Langat 1MDB.

“Ini bukanlah satu jumlah yang kecil. Kita akan terus buat pembayaran seperti mana yang ‘dikontrakkan’ kerajaan lama,” katanya kepada media di lobi Parlimen hari ini.

Tambah Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, skandal 1MDB tidak membawa sebarang keuntungan kepada rakyat Malaysia, sebaliknya menjejaskan reputasi dan imej negara.

“Soalan akan ditanya apa yang kita dapat? Kita lihat keseluruhan skandal ini, sebanyak RM50 bilion. Soalan yang akan timbul ialah apa yang rakyat Malaysia dapat?

“Yang kita dapat hanya dikenali di seluruh dunia sebagai jaguh kleptorasi dunia. Ia adalah suatu skandal yang mencederakan Malaysia bukan sahaja dari segi kewangan, tetapi juga dari aspek imej dan reputasi,” katanya.

Ahli Parlimen Bagan itu berkata, kerajaan akan terus memenuhi komitmen tersebut bagi mengelak berada dalam status ‘default’ sehingga menjejaskan penarafan kredit negara. – Roketkini.com