Berita

Umno sengaja lagakan orang Melayu dan DAP – DAPSY

Sosialis Muda DAP (DAPSY) membidas kenyataan bekas Ketua Pemuda Umno Wilayah Persekutuan Razlan Raffi yang mendakwa parti kononnya tidak mengiktiraf sistem Raja berpelembagaan berhubung isu kurniaan anugerah dan gelaran.

Menyifatkan ia sebagai bermotifkan perkauman dan fitnah, Penolong Setiausaha DAPSY Muhammad Shakir Ameer berkata, dakwaan tidak bertanggungjawab itu dilakukan untuk melagakan masyarakat Melayu dan DAP.

“Bagi parti DAP, perkhidmatan kepada rakyat adalah sesuatu yang amat penting dan diutamakan.

“Ini adalah selaras dengan perjuangan parti. Parti DAP bukan seperti Razlan dan UMNO yang hanya mementingkan ganjaran politik dengan menipu rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Setiausaha Organisasi DAP Anthony Loke Siew Fook sebelum ini berkata pemimpin DAP hanya boleh menerima kurniaan gelaran dan anugerah hanya selepas bersara perkhidmatan politik.

“Pemimpin-pemimpin DAP terlibat dalam politik kerana mahu berkhidmat kepada rakyat dan bukannya untuk mengejar kemasyhuran atau gelaran atau kedudukan.

“DAP mengiktiraf pentingnya anugerah dan gelaran sebagai cara untuk menghargai sumbangan mereka yang menjadi tokoh ulung dalam masyarakat dan oleh itu menasihati wakil rakyat dan ahli majlis tempatan untuk menerima penghormatan ini selepas mereka bersara daripada perkhidmatan, mungkin selepas mereka telah menyumbang kepada masyarakat pada umumnya,” katanya.

Dalam pada itu, Shakir menasihati Razlan dan sekutunya dalam UMNO supaya insaf dengan perbuatan lalu dan berusaha membantu rakyat dengan pelbagai platform seperti yang dilakukan badan pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Jika tidak berminat mungkin boleh fokus kepada bisnes sendiri dan bekerja keras seperti semua yang lain.

“Tidak perlulah untuk ‘bermacai’ bersama UMNO lagi yang tiada masa hadapan.

“Tidak berbaloi melemparkan dakwaan atau kenyataan berunsur perkauman yang tidak akan membawa sebarang faedah kepada sesiapa termasuk diri sendiri,” ujarnya. – Roketkini.com