Rencana

“Najib cuba tumpang kejayaan Pulau Pinang” – Guan Eng

Bekas Menteri Kewangan Datuk Seri Najib Razak nampaknya buat-buat keliru antara tanah yang dijual oleh Kerajaan Negeri untuk hasil pulangan dan tanah yang dijual semata-mata untuk pembangunan nasional dan menambah peluang pekerjaan. Apabila saya mengatakan bahawa Kerajaan Pakatan Pulau Pinang hanya menjual 106 ekar atau kurang 36 kali ganda dari 3,661 ekar yang dijual oleh kerajaan BN yang terdahulu, saya tidak menghitung sekali tanah yang dijual oleh kedua-dua Kerajaan Negeri Pakatan dan BN untuk pembangunan dan pertambahan peluang pekerjaan.

Sebagai contoh, tanah yang dijual kepada syarikat multinasional di dalam sector elektronik, atau untuk institiusi pendidikan, atau untuk membawa masuk game-changer ekonomi seperti IKEA di Batu Kawan oleh Kerajaan Pakatan atau untuk membina Zon Perdagangan Bebas Bayan Lepas oleh kerajaan BN, termasuk penambakan tanah berseberangan dari Pulau Jerejak. Tanah ini yang telah dijual untuk pembangunan nasional dan ekonomi tidak termasuk di dalam perhitungan kami, hanya yang dijual untuk mengumpul hasil sahaja yang diambilkira.

Najib juga tersilap apabila dia mengatakan antara tanah yang telah dijual oleh Kerajaan Pakatan di bawah pentadbiran saya sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang dari 2008-2018, termasuk tanah-tanah untuk tujuan projek-projek terowong dan Plan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PIP), di mana hak-hak penambakan tanah telah dijamin. Projek-projek terowong ini merujuk kepada tanah reklamasi sebesar 1,000 ekar berhampiran Persiaran Gurney yang telah diberikan oleh kerajaan BN yang terdahulu dan dijual pada RM 1 bagi satu kaki persegi dan 10% tanah diserahkan kepada Kerajaan Negeri.

Sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, tawaran tanah sebanyak 10% ini telah ditingkatkan kepada 20% tanah untuk diserahkan kepada Kerajaan Negeri. Sedangkan untuk PIP pula, hak-hak penambakan tanah masih belum mendapat kebenaran pihak-pihak berkuasa yang berkenaan dan tiada dana dan hasil telah dikutip.

Begitu juga dengan lebih dari 1,600 ekar tanah yang telah ditambak berhampiran Butterworh yang telah dijual oleh kerajaan BN yang terdahulu di mana hanya 5% tanah yang ditebusguna diberikan kepada Kerajaan Negeri. Sekali lagi Kerajaan Pakatan telah merunding semula dan meningkatkan nilai tanah yang ditebusguna ini diberikan kepada Kerajaan Negeri di Butterworth dinaikkan dari 5% kepada 35% iaitu sebanyak 7 kali ganda dari tanah yang diberikan kepada Kerajaan Negeri.

Walaupun Pakatan menjual 36 kali ganda kurang tanah, Pakatan masih menerima lebih dana dari BN kerana penjualan-penjalan tanah ini dilakukan secara tender terbuka dan bukannya rundingan terus oleh BN. Hasil dari jualan tanah oleh Kerajaan Pakatan telah digunakan untuk perumahan mampu milik, dan jumlah yang berbaki hanya merupakan 10.4% dari perbelanjaan negeri. Maka, tidak tepat untuk mengatakan yang hasil kerajaan negeri dan lebihan-lebihannya datang hanya dari jualan tanah.

Najib cuba menumpang atas kejayaan Kerajaan Pakatan Pulau Pinang di dalam mengurangkan hutang-hutang Kerajaan Negeri sebanyak 90% apabila Kerajaan Persekutuan mengambil alih hutang-hutang Perbadanan Bekalan Air (PBA) sebanyak RM655 juta. Perlu diingatkan Kerajaan Persekutan mendapat aset-aset PBA sebagai ganti kepada pengambil-alihan hutang-hutang Kerajaan Negeri, iaitu aktiviti penstrukuran semula air yang sama seperti dilakukan dengan negeri-negeri lain.

Walaupun penstrukturan semula air yang sama juga dilakukan untuk negeri-negeri lain, hutang-hutang negeri mereka tidak berkurang seperti Pulau Pinang di mana Pulau Pinang berhutang yang paling sedikit di antara semua negeri. Sehingga April tahun ini, 13 buah Kerajaan Negeri berhutang kepada Kerajaan Persekutuan sejumlah RM17.64 bilion. Dari jumlah ini, Pahang mencatatkan hutang yang tertinggi sebanyak RM3.12 bilion sedangkan Pulau Pinang yang terendah sebanyak RM60.2 juta. Bukankah kedudukan hutang terendah ini bukti keberkesanan pentadbiran Kerajaan Negeri Pulau Pinang yang Cekap, Akauntabiliti, dan Telus (CAT)?

Berbeza dengan Najib, saya tidak akan membabitkan diri dengan serangan peribadi tetapi akan bergantung kepada fakta dan angka-angka untuk nyatakan kisah yang sebenar.

*Kenyataan Media oleh Setiausaha Agung DAP dan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur