Rencana

Malaysia mesti menawan hati dan minda dalam mendepani terorisme serantau

Adalah amat penting untuk tidak mengabaikan aspek politik yang terlibat, apabila kita mempertimbangkan langkah-langkah melawan keganasan. Darurat Malaya (1948-1960) memberikan pengajaran bahawa menewaskan keganasan adalah soal menawan hati dan akal. Kita pastinya harus menggunakan pendekatan ketenteraan, namun pada masa yang sama, kita mesti mempertimbangkan latar politik situasi terbabit. Sememangnya cabaran dihadapi dalam soal keselamatan dalam negeri hari ini wujud dalam pelbagai bentuk, dan memerlukan pendekatan masyarakat secara keseluruhan. Sementara keganasan bukanlah perkara baru di rantau ini, beberapa bentuk daripadanya baru sahaja muncul. Contoh yang baik pastinya, pengeboman bunuh diri. Kita bukan sahaja sekadar menangani peperangan konvensional dan mereka yang bertindak bagi pihak negara (state actors), maka adalah amat penting untuk negara-negara seperti kita berkongsi maklumat dan mencari jalan untuk bekerjasama melampaui sempadan. Pengganas tidak mengenal sempadan, justeru negara-negara tidak boleh bertindak sendirian.

Kita mengecam segala bentuk keganasan dan mesti melakukan apa terdaya untuk bertindak balas secara tegas. Namun kita, sebagai sebahagian daripada komuniti global, harus berusaha secara mungkin untuk memastikan punca-punca yang mengakar – kekecewaan dan alasan yang digunakan untuk menjustifikasi keganasan, dihapuskan dan tidak dibiar melarat.

Dan kita juga harus berhati-hati supaya aktiviti atas nama melawan keganasan tidak menambah minyak ke api kekecewaan yang sedang marak. Menteri Ppertahanaan Malaysia, Mat Sabu, telah dengan cemerlang menggariskan bahawa cubaan Myanmar menangani isu Rohingya, serta penyediaan khidmat yang tidak mencukupi dan ketiadaan masa depan yang cukup ketara bagi pelarian di Cox Bazaar, Bangladesh, boleh menjadi punca aktiviti keganasan dalam wilayah yang lebih besar dalam jangkamasa panjang.

Bagaimanakah pengganas menjustifikasi atau mengabsahkan tindakan mereka? Selalunya pengganas menjuarai bahagian masyarakat yang terpinggir dari segi ekonomi dan politik, atau dari segi identiti kewarganegaraan dan agama. Pertamanya, keganasan boleh jadi masalah majoriti-minoriti. Kedua, ia boleh jadi masalah pusat-pinggiran, Akhir sekali, keganasan boleh juga menjadi masalah ekonomi.

Kes-kes Rohingnya, Selatan Filipina dan Selatan Thailand semuanya adalah masalah majoriti-minoriti, diikuti dikotomi antara pusat yang kuat dan masyarakat pinggir yang diketepikan. Mendasari semua ini juga adalah permasalahan ekonomi.

Sementara itu, Aceh sebelum ini juga adalah sebuah kes pertembungan pusat-pinggiran. Pemindahan kuasa dan pentadbiran mandiri untuk Aceh di tengah-tengah program nyah-pusat di Indonesia telah menunjukkan bahawa apabila kuaasa dikongsi dengan penggerak-penggerak utama dalam masyarakat, kekecewaan boleh dikurangkan dan rasa perkongsian tanggungjawab akan mengambil alih.

Saya masih ingat ucapan seorang bekas pemimpin Indonesia ketika saya seorang mahasiswa di Australia pada tahun 2001 yang menyebut bahawa ‘federalisme’ adalah suatu ‘f word’ di Indonesia. Tiada sesiapa yang menjangka bagaimana Indonesia boleh menjadi negara yang dinyahpusat (decentralised). Nampaknya jelas bahawa untuk menangani masalah pusat-pinggiran, penyahpusatan atau suatu bentuk federalisme adalah penyelesaian yang harus diambil kira. Federalisme di Malaysia telah memainkan peranannya dalam mengakomodasi kumpulan-kumpulan elit di wilayah-wilayah berbeza dan mengekalkan ketegangan pusat-pinggiran di tahap minimum.

Pastinya tiada dua kes yang sama dan kita tidak boleh menggunakan solusi yang sama untuk semua masalah. Justeru adalah penting bagi sesebuah kerajaan untuk punya kerelaan mendengar dan berunding dengan anggota masyarakat, serta memahami akar punca kekecewaan mereka, demi mencapai penyelesaian yang sebenar. Pengesanan awal kekecewaan dan rasa tidak puas hati, pastinya akan membolehkan kita mencantasnya lebih awal dan mengelak daripada terus bertumbuk menjadi sesuatu yang lebih ganas.

Saya amat teruja dengan perkembangan positif terbaru di Filipina dengan termeterainya Bangsamoro Basic Law, dan ingin mengucapkan tahniah kepada kerajaan Filipina atas kejayaan ini. Pun begitu, adalah menjadi tanggungjawab kita bersama untuk memastikan bahawa usaha tersebut terus berjaya, bukan sahaja secara politik, bahkan dari sudut ekonomi. Kita semua sangat terkejut dengan keganasan yang berlaku di Marawi, dan adalah jelas bahawa kita semua mempunyai tanggungjawab memastikan Selatan Filipina berkembang maju dan makmur, agar keselamatan Laut Sulu dan wilayah berdekatannya dapat dijamin.

Inilah sebabnya kenapa kita harus bercakap tentang demokrasi apabila kita berbicara tentang aktiviti anti-keganasan.

Malaysia Baharu kini melihat dirinya sebagai sebuah demokrasi yang berfungsi, dan saya percaya bahawa demokrasi yang sihat dan inklusif adalah lawan sebenar terhadap radikalisasi. Masyarakat yang demmokratik dan inklusif menyediakan ruang kebebasan bersuara untuk semmua, dan mengurangkan bilangan golongan yang kehilangan hak ke tahap yang minima. Bukan sahaja itu, demokrasi yang berfungsi memberi kesejahteraan kepada semua, menutup jurang kaya miskin dan meminimakan rasa putus asa dalam kalangan mereka yang tidak mempunyai kelebihan ekonomi. Jika tidak, kekecewaan golongan ini memberi ruang untuk mereka mudah diradikalisasi.

Punca radikalisasi hari ini adalah di tahap global. Ini dapat kita lihat dalam kes Daesh dan juga kepentingan global dalam isu berlarutan di Palestin. Dalam kes Palestin, kerajaan Malaysia, terutamanya di bawah pentadbiran Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamed sebelum ini, bekerja keras menjuarai isu-isu rakyat Palestin di persada antarabangsa.

Punca-punca radikalisasi selalunya berada di luar kawalan kita, namun apa yang boleh kita kawal ialah kemampuan mempengaruhi kekecewaan setempat dan memastikan ia tidak bersambung dengan kecenderungan keganasan luar. Usaha ini sangat penting di saat kita menyaksikan pejuang-pejuang IS kembali ke negara kita.

Suatu lagi perkara yang harus diambil perhatian ialah, kita tidak boleh menyamakan Islam dengan terorisme. Adalah penting bagi rantau ini memahami bahawa Islam bukanlah masalahnya. Keganasan tidak mengenal agama; dan ini sentiasa dilupakan dalam wacana umum. Apa yang perlu kita lakukan ialah menawan hati dan minda seluruh masyarakat dan memencilkan ekstremisme.

Jadi apa yang boleh kita lakukan? Saya ingin mengulangi betapa perlunya kita mengambil langkah yang lebih kolektif dan pendekatan keseluruhan masyarakat dalam usaha-usaha melawan keganasan. Keyakinan ini turut dicerminkan dalam kenyataan oleh Menteri-menteri Pertahanan Asean ketika ADMM khas menentang keganasan, ekstremisme, radikalisasi dan terorisme, yang berlangsung di Clark, Pampangan pada 23 Oktober 2017 yang menyeru supaya wujud pendekatan yang lebih komprehensif dan kreatif dalam menentang terorisme serta keganasan ekstremisme dalam kalangan organisasi pertahanan Asean, selain dalam kalangan masyarakat sivil dan warga akademik.

Sememangnya kita perlu saling berkongsi maklumat dan memperteguh kerjasama serantau. Kita juga memerlukan usaha yang komprehensif untuk memulihkan bekas-bekas pejuang, menerima dan menghormati mereka sebagai individu dan warganegara, namun bertegas dalam meminggirkan ideologi ganas mereka. Kita harus memberdayakan rakyat, memudahcara persefahaman – antara kerajaan dan rakyat serta antara kumpulan-kumpulan dalam masyarakat.

Pendeknya, kita harus beringat untuk menyatukan pendekatan keras dan lunak. Akar punca melawan terorisme adalah fitrahnya politikal, dan penyelesaian yang inklusif adalah diperlukan bagi menghentikan rasa terasing dalam kalangan populasi kita sendiri. – Roketkini.com

*Tulisan ini diadaptasi dari Ucapatama oleh Timbalan Menteri Pertahanan Malaysia, Liew Chin Tong, di 2018 Southeast Asia Counterterrorism Symposium: A Collective Approach, di Singapiura, pada 4 Oktober 2018, anjuran S. Rajaratnam School of International Studies (RSIS)