Berita

Tanah runtuh Bukit Kukus: Kontraktor tidak patuhi garis panduan

Kerajaan negeri Pulau Pinang mendapati kontraktor projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus tidak mematuhi empat garis panduan yang berpotensi menyebabkan tanah runtuh sepanjang melakukan kerja-kerja pembinaan.

Exco Kerja Raya, Utiliti dan Tebatan Banjir negeri, Zairil Khir Johari, berkata Jawatankuasa Kawalan Hakisan dan Kelodak Pulau Pinang (ESCP) mengenal pasti masalah itu selepas membuat pemeriksaan mengejut pada 8 Oktober lalu.

“Pihak kontraktor juga gagal membina pagar kelodak di bahagian cerun di tapak projek terbabit. Kolam enapan, empangan hakisan dan beberapa komponen lain juga didapati gagal mematuhi garis panduan ditetapkan dalam Pelan Kawalan Hakisan dan Kelodak.

“Semua elemen ketidakpatuhan ini dikenal pasti mampu menjadi punca tanah runtuh dengan semakan dibuat di plot paling tinggi di tapak projek terbabit,” katanya pada sidang media, hari ini.

“Ekoran itu, notis kepada pihak kontraktor sudah dikeluarkan dengan arahan supaya semua ketidakpatuhan itu diatasi dalam tempoh 14 hari atau pihak mereka akan dikenakan tindakan, termasuklah kompaun atau arahan pemberhentian kerja.”

Beliau berkata demikian mengulas kejadian tanah runtuh di tapak projek Lebuhraya Berkembar Bukit Kukus yang mengorbankan sembilan pekerja binaan, manakala tiga cedera dan seorang lagi dikhuatiri tertimbus.

Mengulas lanjut, Zairil berkata pihak kontraktor juga tidak memaklumkan mengenai kewujudan anak sungai dan sekiranya kerja teknikal dilakukan bagi menghalang atau mengalih aliran berkenaan.  

“Sebenarnya, pemeriksaan ke atas tapak ini dibuat berdasarkan laporan diterima daripada pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Penang Hill Watch berhubung kegusaran akan berlaku kejadian sedemikian, pada 28 September lalu.

“Bagaimanapun, kita sendiri tidak mempunyai pelan pembinaan projek ini dan pemeriksaan hanya dibuat berdasarkan ESCP semata-mata. Kita sememangnya tidak akan berkompromi dengan sebarang ketidakpatuhan yang berlaku di mana-mana tapak projek di negeri ini,” katanya.

Berhubung sama ada tindakan akan diambil terhadap pihak kontraktor, Zairil menjelaskan keputusan mengenainya masih belum dimuktamadkan dan sedang menunggu laporan penuh berhubung kejadian itu.

“Kita juga tidak pasti sama ada projek ini akan diteruskan atau sebaliknya kerana laporan berhubung insiden ini belum lagi siap. Apa yang saya boleh katakan, setakat ini projek terbabit akan diteruskan sehingga suatu keputusan mengenainya dimuktamadkan kelak.

“Tindakan sewajarnya juga akan diambil ke atas pihak kontraktor sekiranya terbukti berlaku kecuaian profesional di tapak terbabit. Bagaimanapun, biarkan siasatan kejadian ini selesai terlebih dulu,” katanya.

Projek berkenaan merupakan laluan alternatif menghubungkan Lebuhraya Thean Teik di Bandar Baru Air Itam ke Lebuh Bukit Jambul yang dijangka siap pada Mac 2020 dan dianggarkan bernilai RM545 juta. – Roketkini.com