Berita

Kes pembunuhan Altantuya: KDN digesa rakam kenyataan Najib, Rosmah

Kementerian Dalam Negeri digesa mengambil keterangan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dan isterinya Datin Seri Rosmah Mansor berikutan pendedahan terbaru bahawa pasangan itu terlibat dalam kes pembunuhan model warga Mongolia, Altantuya Shaariibuu.

Ahli Parlimen Bukit Gelugor Ramkarpal Singh membuat gesaan itu berdasarkan pendedahan yang dibuat oleh ahli perniagaan J Deepak, yang dikatakan mempunyai hubungan baik dengan Rosmah dan Najib.

Pengakuan Deepak itu disuarakan melalui satu wawancara yang dimuat naik di internet baru-baru ini, namun telah dipadam.

“Deepak telah nyatakan secara jelas dan terang bahawa Pekan adalah terlibat dalam pembunuhan (Altantuya), beliau nyatakan secara langsung bahawa Pekan dan isterinya adalah secara langsung terlibat, ini adalah pernyataan Deepak.

“Ini satu perkara penting kerana ia berlaku lebih 10 tahun lalu, adakah Polis Diraja Malaysia tidak cekap sehingga mereka tak dapat siasat dan menentukan siapa yang arahkan pembunuhan itu,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia ke-11 pada persidangan Dewan Rakyat.

Tambah Ramkarpal, perkara yang ditimbulkan Deepak dalam wawancara itu penting bagi kes berkenaan dan mampu menentukan motif di sebalik pembunuhan tersebut.

Kata Ramkarpal lagi, Rosmah seharusnya membuat laporan polis jika apa yang didedahkan Deepak dalam wawancara berkenaan adalah fitnah.

“Pendedahan serius ini tidak dijawab isteri Pekan, beliau tidak membuat laporan polis (atau) berbuat apa-apa untuk nafikan dakwaan yang serius ini, ini merupakan satu petunjuk yang boleh selesaikan motif di belakang kes Altantuya,” katanya yang turut menggesa keterangan Deepak diambil pihak polis.

Altantuya dibunuh ada 2006 di kawasan hutan di Puncak Alam dengan kepalanya dilapor ditembak sebelum badannya diletupkan dengan bom C4.

Kes berkenaan selepas dibicarakan mendapati dua pegawai polis yang menjadi pengawal pengiring Najib didapati bersalah dan dijatuhkan hukuman mati.

Ramkarpal kini mewakili keluarga Altantuya dalam tindakan sivil Rosmah dan Najib di Mahkamah Tinggi Shah Alam yang akan dibicarakan pada Januari. – Roketkini.com