Berita

“Amar makruf nahi mungkar” – Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menasihati “penyangak” yang telah “mencuri wang rakyat” supaya memulangkan wang tersebut kepada rakyat Malaysia dan bersedia dihadapkan ke muka pengadilan.

Malah, beliau turut meminta supaya mereka yang masih menyokong “penyangak” tersebut supaya memohon maaf dan meletak jawatan daripada pejabat awam.  

“Malaysia sudah bersih dan kita berbangga bahawa kini Malaysia bersih semula.

“Kepada mereka yang tersesat di hujung, baliklah ke pangkal jalan. Amar makruf nahi mungkar.

“Marilah kita menuju ke hadapan dengan penuh harapan. Malaysia Wibawa, Ekonomi Dinamik, Rakyat Sejahtera,” ujarnya menggulung ucapan pembentangan Belanjawan 2019 di Dewan Rakyat, hari ini.

Terdahulu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP, membangkitkan mengenai tindakan Jabatan Kehakiman Amerika Syarikat menangkap dan mendakwa bekas pegawai Goldman Sachs Group Inc, Tim Leissner dan Roger Ng.

“Mereka adalah antara dalang dalam penerbitan bon 1MDB berjumlah USD6.5 bilion atau RM26 bilion yang bersubahat dengan penyangak di Malaysia untuk menyelewengkan wang rakyat Malaysia.

“Berita yang lebih baik ialah Jho Low, watak utama dalam skandal ini telahpun didakwa (indicted in absentia) di Amerika Syarikat,” ujarnya. – Roketkini.com