Berita

Apa perkembangan siasatan bekas KM Sabah? – Chan Foong Hin

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin tertanya-tanya bilakah pihak berkuasa akan menyiasat bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman,  seperti mana bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.

“Di sini, saya ingin bertanya kepada kerajaan, khususnya kepada Perdana Menteri, apakah status ataupun perkembangan terkini berkenaan siasatan terhadap bekas Ketua Menteri Sabah?” katanya di Dewan Rakyat, baru-baru ini.

“Nescaya ianya hanya adil sekiranya bekas Ketua Menteri Sabah juga diberikan layanan yang sama oleh SPRM (Suruhanjaya Pecegahan Rasuah Malaysia) seperti yang diberikan kepada bekas perdana menteri dan bekas timbalan perdana menteri.”

Beliau berkata demikian susulan tindakan pantas SPRM menyiasat Najib berhubung skandal 1MDB. Bekas Presiden UMNO itu kini berdepan berpuluh tuduhan di mahkamah.

Pada 23 Mei lalu, SPRM hadir di rumah Musa, di Sabah, namun tidak dapat memasuki kediaman itu kerana beliau tiada di rumah.

Ia dipercayai ada kaitan dengan siasatan SPRM terhadap Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Datuk Dr Jeffrey Kitingan yang bekerjasama dengan BN dalam usaha membentuk kerajaan negeri selepas PRU-14.

Jeffery disiasat SPRM berhubung dakwaan beliau menerima RM20 juta selepas PRU-14 daripada pihak tertentu.

Pada 30 Ogos lalu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Azam Baki, berkata pihaknya akan membenarkan Musa mendapat rawatan dan sihat terlebih dahulu sebelum membuat keputusan lanjut. – Roketkini.com