Berita

DAP bela kesulitan keluarga Mainthan menjelang Deepavali

DAP dan badan bukan kerajaan (NGO) hari ini menyerahkan bantuan berjumlah RM11,300 hasil sumbangan orang ramai kepada keluarga Mainthan, yang ketika ini berdepan hukuman gantung.

Ahli Parlimen Batu Kawan Kasthuri Patto berkata, sumbangan itu diharapkan dapat memberikan keceriaan kepada keluarga berkenaan menjelang sambutan perayaan Deepavali esok.

“Dalam masa dua hari, 33 orang telah menyumbang secara keseluruhannya berjumlah RM11,300, ia telah diserahkan kepada keluarga tersebut di Kg Pandan pagi ini oleh peguam Sherrie, Shamini Darshini dari Amnesty International, Chow Ying dari ADPAN dan saya sendiri.

 

“Kemurahan hati anda dalam membantu keluarga ini pasti dapat meringankan beban mereka dalam beberapa minggu dan bulan akan datang,” katanya dalam perkongsian di Facebook.

Mainthan, dihukum gantung sejak 14 tahun lalu kerana dituduh membunuh, suatu tuduhan yang dinafikannya sekeras-kerasnya. Walaupun terdapat pelbagai percanggahan berhubung kes tersebut, Mainthan tetap dipenjara.

Beliau yang juga Setiausaha Publisiti Wanita DAP berkata pihaknya sedang melakukan pelbagai usaha untuk mengemukakan semakan dan bukti baru bagi mencari keadilan buat Mainthan.

“Mohon terus doakan keluarga Mainthan agar mereka dikurniakan kekuatan dan keberanian kerana kita masih tidak tahu apa nasib yang akan menimpa ayah mereka,” ujarnya.

“Mereka amat bersyukur di atas sokongan dan kata-kata semangat yang diberikan orang ramai dalam masa yang paling sukar ini.” – Roketkini.com