Berita

Tender terbuka tak jejas agenda bumiputera

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan konsep tender terbuka yang diperkenalkan kerajaan tidak akan menjejaskan agenda bumiputera, sebaliknya memberi keadilan kepada kontraktor dari golongan itu.

Katanya, langkah itu juga dapat mengelak amalan memberi tender kepada “orang yang ada kabel kuat” dan memerlukan “tanda tangan pihak tertentu”.

“Apa yang diamalkan sekarang ialah kita tukarkan kepada tender terbuka. Apa yang dalam agenda bumiputera tetap sama tapi tender terbuka.

“Bukan macam dulu kena dapat tanda tangan pihak tertentu, hanya orang yang ada kabel kuat. Itu kita tak mahu lihat ia berlaku lagi,” katanya seperti dipetik Bernama malam tadi.

“Saya harap di sini tidak ada kesan, hanya dari segi keadaannya tender terbuka, termasuk di kalangan kontraktor Kelas F.

“Sebagai contoh bila kita amalkan di Pulau Pinang, kita boleh lihat ada kontraktor-kontraktor bumiputera yang benar-benar buat kerja. Itu yang saya nak berikan tumpuan,” tambahnya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan Taklimat Khas Belanjawan 2019, di Geoarge Town malam tadi.

Belanjawan 2019 adil tak pinggir mana-mana negeri

Dalam pada itu, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP menolak dakwaan pemimpin Kelantan bahawa Belanjawan 2019 kononnya tidak memberi perhatian terhadap pembangunan di negeri-negeri Pantai Timur.

Sebaliknya, menurut beliau, peruntukan yang diberikan untuk setiap negeri dalam Belanjawan 2019 menunjukkan peningkatan, malah kerajaan berlaku adil tanpa meminggirkan mana-mana negeri.

“Untuk negeri-negeri kita telah naikkan (peruntukan) daripada RM27.9 bilion kepada RM31.7 bilion untuk perbelanjaan pembangunan termasuk juga negeri Kelantan. Di sini bukan sahaja Pulau Pinang naik, Kelantan juga naik daripada RM1,214 juta kepada RM1,376 juta.

“Ini adalah sesuatu yang jelas sekali kita tidak pinggirkan mana-mana negeri, kita bertindak adil sungguhpun ini adalah datang daripada negeri yang tidak sehaluan dengan kerajaan persekutuan,” katanya.

Justeru itu, beliau meminta pemimpin terutamanya daripada parti pembangkang menghentikan permainan sentimen berunsur fitnah jahat dan kebencian serta mengemukakan hujah berdasarkan fakta dan angka. – Roketkini.com