Berita

Berbilion dana 1MDB diseleweng boleh bina infrastruktur, wujudkan pekerjaan – Kit Siang

Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang hari ini menyoal bagaimana syarikat kewangan Amerika Syarikat (AS) Goldman Sachs akan membayar pampasan kepada rakyat Malaysia susulan penglibatannya dalam skandal 1MDB.

Memetik pendakwa raya AS, beliau berkata, syarikat terbabit terlibat dalam membantu 1MDB menerbitkan bon pada 2012 dan 2013 yang keseluruhannya berjumlah AS$6.5 bilion dan mengaut keuntungan sekitar AS$600 juta hasil urus niaga tersebut.

“Berbilion-bilion yang hilang dalam skandal 1MDB boleh mewujudkan peluang pekerjaan, menyediakan tempat di sekolah dan universiti, membina klinik dan hospital bagi rakyat Malaysia dan bukannya untuk membayar penjahat dan kleptokrat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Seorang bekas kakitangan Goldman Sachs Tim Leissner disabitkan di Singapura atas tuduhan pengubahan wang haram di Amerika Syarikat sementara seorang lagi Roger Ng akan turut menghadapi tuduhan serupa.

Menurut Kit Siang, syarikat pelaburan tersebut harus menjelaskan bagaimana ia akan memberi pampasan kepada 32 juta rakyat Malaysia atas jenayah kleptokrasi dan pecah amanah yang dilakukannya.  

“Jelas sekali bahawa tanpa peranan Goldman Sachs, skandal 1MDB tidak akan berlaku, seperti diperkatakan bekas peguam negara Amerika Jeff Sessions di Forum Global pada Pemulihan Aset pada Disember lalu, sebagai ‘kleptokrasi paling buruk’” ujarnya. – Roketkini.com