Berita

P. Pinang belanjakan puluhan juta demi syiar Islam sejak 2008

Kerajaan Pulau Pinang yang diterajui DAP tidak lokek dalam membelanjakan hasil kekayaan negeri untuk pembangunan syiar Islam apabila mengeluarkan sebanyak RM20,375,305 bagi tujuan itu sejak 2008 sehingga kini.

Sejak sepuluh tahun dulu juga, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pengkalan Kota, Daniel Gooi, kerajaan negeri telah berjaya membina 14 buah masjid dan tiga surau di lima daerah di negeri itu.

“Ini sememangnya angka menarik yang mana dalam masa 10 tahun mentadbir, Kerajaan Negeri Pakatan Harapan Pulau Pinang berjaya membina 17 institusi Islam dan sekaligus menyangkal tuduhan kononnya Kerajaan Negeri mengabaikan pembangunan agama Islam,” ujarnya baru-baru ini.

Terdahulu Daniel dalam soalan lisannya pada sidang Dewan Undangan Negeri membangkitkan mengenai senarai masjid dan surau yang telah menerima peruntukan pembangunan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEIPP) serta senarai masjid serta surau yang siap sejak tahun 2008 mengikut lokasi dan daerah di negeri ini.

Sementara itu, ADUN Bayan Lepas, Azrul Mahathir Aziz berkata keprihatinan kerajaan melalui peruntukan tersebut berjaya menangkis serangan pihak pembangkang kononnya kerajaan negeri tidak mesra komuniti Islam

“Soalan daripada YB Daniel jelas membuktikan bahawa Kerajaan Negeri tidak pernah mengabaikan sama sekali (pembangunan agama Islam) serta tidak melanggar perlembagaan, dan paling penting (Kerajaan Negeri) menghormati Islam sebagai agama rasmi.

“Malah, belanjawan yang dibentangkan Ketua Menteri sendiri memperlihatkan peningkatan peratusan yang diberikan kepada institusi-institusi Islam,” jelasnya. – Roketkini.com