Berita

Belanjawan 2019 mungkin ‘tidak sempurna’ tapi jauh lebih baik – Chan Foong Hin

Ahli Parlimen Kota kinabalu, Chan Foong Hin menyifatkan walaupun Belanjawan 2019 kerajaan Pakatan Harapan mungkin tidak sempurna, ia lebih baik berbanding belanjawan kerajaan terdahulu.

“Kerajaan persekutuan telah pun memperuntukkan bajet yang terbaik daripada situasi yang terburuk sekali di mana banyak hutang dan perbelanjaan yang tinggi telah pun diwarisi daripada kerajaan yang terdahulu,” katanya ketika membahaskan Belanjawan Persekutuan 2019, di Dewan Rakyat, semalam.

Setiausaha DAP Sabah itu menyanggah propaganda pembangkang kononnya Belanjawan 2019 hanya tertumpu di kawasan bandar yang disifatkannya ‘tidak tepat’ sama sekali.

Beliau turut menjawab dakwaan sesetengah pihak yang mendakwa peruntukan RM5.009 bilion kepada Sabah masih tidak mencukupi dari keseluruhan belanjawan pembangunan.

“Dalam apa pun jua keadaan, saya percaya bahawa terdapatnya pelbagai peruntukan ‘pembangunan’ yang diklasifikasikan sebagai ‘multi-state’ dengan izin yang saya rasa, ia mungkin tidak termasuk dalam RM5.009 billion khas untuk pembangunan Sabah yang disebut oleh Menteri Kewangan semasa membentangkan belanjawan,” katanya.

Pembangunan ‘multi-state’ katanya melibatkan beberapa peruntukan besar kepada projek kerajaan persekutuan seperti Lebuh Raya Pan Borneo, projek membasmi kemiskinan, pembangunan luar bandar Sabah-Sarawak, kemudahan hospital dan klinik, rancangan tebatan banjir, perumahan rakyat dan sebagainya.

Hakikatnya, kerajaan Malaysia baharu jelas mengetengahkan sejumlah peruntukan khas kepada kawasan luar bandar termasuk di Sabah.

“Sabah diperuntukkan hanya RM4.133 bilion di bawah regim Barisan Nasional bagi tahun 2018, manakala kerajaan Pakatan Harapan telah pun meningkatkan peruntukan pembangunan Sabah hampir RM 1 bilion kepada RM5.009 bilion. Syabas saya ucapkan!” katanya lagi.

Menurutnya, peruntukan bagi pembangunan kemudahan asas (utility) kawasan luar bandar Sabah misalnya boleh dilihat melalui jumlah yang jauh lebih besar dengan mencatatkan peningkatan 2.36 kali ganda.

Beliau menjelaskan, peruntukan kepada Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) bagi tahun 2019 adalah sebanyak RM307.8 juta secara langsung manakala RM 148.9 juta secara pinjaman.

“Dengan jumlahnya RM456.7 bagi tujuan pembangunan, ia adalah jauh lebih besar jika dibandingkan dengan peruntukan RM 170.3 juta pada 2017 dan RM173.5 juta pada 2018,” ujar beliau.

Bajet pembangunan membangunkan Bekalan Air Luar Bandar Sabah juga dinaikkan dari RM129 juta pada tahun kepada 295.5 juta pada tahun 2019 dengan peningkatan 43%.

Beliau pada masa yang sama akan meminta penjelasan kerajaan berhubung penurunan bajet bagi Rancangan Bekalan Air Sabah di bawah Kementerian Air, Tanah Dan Sumber Asli yang diturunkan dari RM93 juta pada tahun 2018 kepada RM76.2713 juta bagi 2019

Chan berkata, melalui peruntukan besar belanjawan 2019 kepada Kawasan luar bandar Sabah, manfaat bekalan elektrik dan air akan lebih dinikmati oleh lebih banyak kediaman Kawasan tersebut.

“Jelas sekali lebih banyak Walaupun kawasan saya Kota Kinabalu merupakan kawasan bandar, tetapi saya juga berterima kasih kepada kerajaan bagi pihak rakyat Sabah di kawasan luar bandar sebab mereka lebih memerlukan bantuan kerajaan persekutuan,” katanya lagi.

Dalam ucapan tersebut, Chan turut menyentuh tentang alam sekitar, pertanian, ESSCOM, pengangkutan dan jalan raya, pengangkutan awam, amanah pelaburan hartanah bagi lapangan terbang, peruntukan multi-state. – Roketkini.com