Berita

DAP P. Pinang dermakan wang ikat jamin Guan Eng untuk biasiswa pelajar

DAP Pulau Pinang mendermakan wang ikat jamin berjumlah RM1 juta yang dibayar bekas Ketua Menteri Lim Guan Eng berhubung kes pembelian banglow untuk tujuan menaja pelajar yang layak menyambung pengajian dalam negara.

Timbalan Pengerusi DAP Pulau Pinang, Jagdeep Singh Deo seperti dipetik The Malaysian Insight berkata, wang berjumlah RM1.083 juta itu akan disalurkan kepada Penang Future Foundation (PFF) yang ditubuhkan kerajaan negeri.

“… Diputuskan DAP untuk diagihkan kepada Program Biasiswa Penuh Penang Future Foundation agar memberi inisiatif kepada generasi muda Malaysia Baharu supaya dapat mencontohi pengorbanan wira-wira seperti Saudara Lim Guan Eng,” ujarnya.

Mahkamah Tinggi pada 3 September lalu melepas dan membebaskan bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng, daripada tuduhan rasuah berhubung pembelian sebuah lot tanah.

Ia berikutan permohonan Timbalan Pendakwa Raya, Datuk Masri Mohd Daud, melalui representasi dikemukakan pihak pembelaan kepada Pejabat Peguam Negara untuk menggugurkan tuduhan berkenaan.

Mengulas lanjut, Jagdeep berkata yayasan berkenaan telah membantu hampir 300 pelajar sejak 2015 dan akan terus membantu mengukuhkan kedudukan Pulau Pinang sebagai hub bakat, hijau dan berteraskan keluarga yang mengispirasikan negara.

“Kerajaan mengambil berat tentang pengaliran keluar bakat-bakat anak Pulau Pinang. Negeri ini merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia dan tidak mempunyai komoditi dan sumber asli seperti bahan api fosil bagi mempertingkatkan ekonomi. Justeru, komoditi utama kami adalah bakat-bakat tempatan.

“Oleh kerana terdapatnya bakat-bakat, Pulau Pinang mempunyai Keluaran Dalam Negara Kasar per kapita yang ketiga tertinggi di Malaysia pada tahun 2017,” katanya. – Roketkini.com