Berita

Hanya Harapan mampu wakili semua kaum – Guan Eng

Pakatan Harapan (PH) komited dalam menjaga kepentingan semua kaum di Malaysia, berbeza dengan pembangkang yang sering memainkan isu perkauman dan agama, kata Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng.

Menurut beliau, pembangkang hanya mahu mencetuskan perbalahan dalam kalangan rakyat berbilang kaum di Malaysia.

“Hanya Pakatan Harapan yang boleh mewakili seluruh rakyat Malaysia… tak kira bangsa, agama.

“(Namun) parti pembangkang sudah kembali memainkan isu dan sentimen perkauman… mereka tidak ada semangat Malaysia, mereka hanya ada kepentingan peribadi… mereka tidak ada modal lagi untuk jual kepada rakyat,” ujarnya dalam ucapan pada Konvensyen Biasa Negeri DAP Pulau Pinang 2018 di George Town, semalam.

Tambah Guan Eng, PH harus membuktikan kepada rakyat bahawa ia adalah gabungan yang berbeza sama sekali dengan Barisan Nasional (BN) bagi meneruskan kelangsungan pentadbiran.

“Kita kena tunjuk kita berlainan. Kita mesti pastikan ekonomi baik dan bagus untuk rakyat. 

“Kalau kita boleh jamin ekonomi lebih baik untuk rakyat sekarang berbanding dengan dulu, Pilihan Raya akan datang kita tak perlu bimbang, kita pasti akan menang,” ujarnya yang juga Menteri Kewangan. – Roketkini.com