Berita

DAP sedia peguam iring Eddy Rejang ke balai polis

DAP akan menyediakan peguam bagi mengiringi lelaki yang merakam aksi dirinya sendiri mengeluarkan kata-kata kesat terhadap seorang promoter bir baru-baru ini.

Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan Lim Lip Eng berkata demikian ketika ditemui pemberita di Parlimen sehari selepas lelaki yang dikenali sebagai Eddy Rejang itu memohon maaf atas insiden itu dalam satu pertemuan dengan Lim, semalam.

“DAP akan menyediakan peguam untuk menemani Eddy untuk memberi keterangan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya.

“Paling cepat kita ke sana mungkin esok,” katanya sambil menambah bahawa Eddy berjanji untuk memberi kerjasama dalam perkara itu.

“Bagaimanapun bergantung kepada polis dan juga mangsa, sama ada untuk menyelesaikan perkara ini di luar mahkamah dan menerima permohonan maafnya,” katanya.

Dalam rakaman selama 46 saat yang tular di media sosial itu, Eddy memarahi seorang promoter Cina di sebuah pasar raya kerana mempromosi perasa minuman keras kepada semua pelanggan.

Promoter tersebut bagaimanapun tenang dan menafikan dakwaan itu walapun lelaki itu menunjukkan isyarat lucah. – Roketkini.com