Rencana

Ganggu Menteri berucap: Kit Siang gesa MP UMNO, PAS dirujuk ke JK Khas

Semua Ahli Parlimen UMNO dan PAS yang tidak mengendahkan serta mengingkari arahan Speaker dan memekik serta mengherdik bertubi-tubi bagi menghalang Waytha Moorthy daripada meneruskan ucapannya di Parlimen pada Isnin lalu harus dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi mengelakkan perkara sama seperti itu berulang lagi.

Apa yang berlaku di Parlimen pada pagi Isnin lalu, semasa Ahli Parlimen UMNO dan PAS tidak mengendahkan serta mengingkari arahan Speaker dan menjerit serta mengherdik bertubi-tubi bagi menghalang Menteri di Jabatan Perdana Menteri, P. Waytha Moorthy daripada meneruskan ucapan penggulungan perbahasan Rang Undang-undang Perbekalan 2019 adalah tindakan yang paling memalukan sepanjang sejarah separuh abad Parlimen Malaysia, kelakuan memalukan seperti itu tidak pernah berlaku sebelum ini dalam Parlimen Malaysia sejak 1959.   

Adakah Parlimen di Malaysia telah jatuh martabatnya dalam tempoh setengah abad ini? Adakah Parlimen Malaysia akan mengikut aksi bertumbuk dan serangan fizikal terhadap Speaker seperti yang berlaku di Parlimen lain?

Apa yang menjadikan peristiwa paling memalukan itu lebih mengejutkan adalah hakikat bahawa pelaku-pelaku tersebut merupakan bekas Menteri – yang membuktikan bahawa bekas Kabinet yang telah ditendang keluar daripada Putrajaya oleh pengundi pada 9 Mei 2018 lalu adalah Kabinet yang paling teruk dalam sejarah Malaysia – yang kebanyakannya terdiri daripada Menteri “kayu mati” dan “separuh hati”.

Adalah amat menyedihkan apabila Ahli Parlimen UMNO dan PAS yang menempik Waytha Moorthy dan menghalang beliau berucap di Parlimen tidak pernah memahami atau mendengar kata-kata pujangga Volataire: “Aku tidak bersetuju dengan apa yang kamu kata, tetapi aku akan pertahankan bermatian-matian hak kamu untuk bercakap tentangnya”! (I disapprove of what you say, but I will defend to the death your right to say it”!)

Mengapa Ahli Parlimen UMNO dan PAS tidak mengamalkan sikap sopan dan bermaruah dengan membenarkan Waytha Moorthy memperkatakan apa yang ingin diperkatakannya, sekalipun mereka tidak bersetuju dengan beliau, dan kemudian memberikan respons kepada beliau, sama ada di dalam atau di luar Parlimen?

Peristiwa paling memalukan di Parlimen pada pagi Isnin lalu tidak harus dibiarkan berulang lagi, dan tidak ada seorang pun Ahli Parlimen atau Menteri boleh mengherdik atau memekik dengan tujuan menghalang seseorang Ahli Parlimen atau Menteri menyuarakan pandangannya di Parlimen.

Oleh itu, semua Ahli Parlimen UMNO dan PAS yang tidak mengendahkan serta mengingkari arahan Speaker dan memekik serta mengherdik bertubi-tubi bagi menghalang Waytha Moorthy daripada meneruskan ucapannya di Parlimen pada Isnin lalu harus dirujuk kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan bagi mengelakkan perkara sama seperti itu berulang lagi. – Roketkini.com

*Kenyataan media oleh Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang pada Rabu di Gelang Patah.