Berita

Kerajaan Selangor disaran terus pergiat agenda pencerahan

Kerajaan negeri Selangor disaran mempergiat agenda pencerahan disamping usaha pembangunan negeri, kata seorang wakil rakyat DAP.

Adun Dusun Tua, Edry Faizal Eddy Yusof berkata, produk seperti buku yang telah diterjemahkan dan buku audio harus diletakkan di perpustakaan daerah dan sekolah di Selangor bagi memudahkan akses masyarakat negeri ini terhadap bahan tersebut.

“Dengan itu, karya-karya tadi tidaklah sekadar menjadi objek mati, sebaliknya dihidupkan dan dibumikan ke peringkat akar umbi masyarakat.

“Sekaligus manfaat dan pencerahan itu benar-benar sampai kepada rakyat Selangor,” katanya pada ucapan perbahsan Belanjawan Selangor 2019 peringkat Dasar di Dewan Undang Negeri (DUN) dekat Shah Alam, hari ini

Kerajaan negeri Selangor melaksanakan program Pencerahan Selangor menerusi inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE) yang menterjemah pelbagai karya penting antarabangsa merangkumi falsafah, islamik, sastera, politik dan biografi diterjemah sebagai bacaan golongan muda dan masyarakat.

Setakat ini, 22 buku penting daripada pelbagai bahasa telah diterjemahkan ke Bahasa Melayu sementara 15 buku pula telah berjaya diaudiokan.

“Saya percaya yang meletakkan Selangor lebih ke hadapan berbanding negeri-negeri lain adalah kesedaran untuk tidak mengkesampingkan agenda pencerahan dalam usaha membangun negeri,” tambah Edry yang juga Ahli Jawatankuasa DAP Selangor. – Roketkini.com