Berita

Chong Eng puji inisiatif pengecualian cukai kepada wanita kembali bekerja

Pengerusi Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang (PWDC), Chong Eng hari ini menyambut baik inisiatif yang diumumkan Kementerian Sumber Manusia bagi menggalakkan wanita yang telah berhenti bekerja untuk kembali menyumbang kepada pembangunan negara.

Menurut beliau, inisiatif dalam bentuk pengecualian cukai untuk tempoh 12 bulan bermula tahun hadapan kepada mereka yang layak itu mampu mengatasi kadar penyertaan tenaga buruh (KPTB) wanita yang rendah berbanding negara lain di rantau ini.

“Dan antara sebab utama yang menyumbang kepada KPTB yang rendah adalah kebanyakan wanita berhenti bekerja selepas melahirkan anak dan terikat dengan komitmen perkahwinan.

“Malah, kebanyakan wanita berhenti bekerja selepas mempunyai anak ekoran kekurangan kemudahan pusat jagaan kanak-kanak,” ujarnya yang juga Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Keterangkuman Gender dan Agama Selain Islam Pulau Pinang dalam kenyataan, hari ini.

Menteri Sumber Manusia, M. Kula Segaran berkata, inisiatif pengecualian cukai itu akan bermula tahun hadapan dan akan dipantau dan diuruskan oleh Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) menerusi program ‘Career Comeback’.

“Wanita merangkumi hampir separuh daripada tenaga kerja serta penyumbang utama kepada ekonomi negara,” katanya kepada pemberita semalam.

Walaupun mengakui inisiatif berkenaan sebagai satu permulaan yang baik, Chong Eng berkata usaha yang lebih perlu dilaksanakan kementerian berkenaan supaya masalah pokok yang dihadapi golongan wanita, khususnya yang berkeluarga, dapat diatasi dengan sebaiknya.  

“Golongan wanita perlu mungkin tidak tertarik untuk bekerja jika keperluan utama mereka tidak diberi penekanan.

“Kita perlu mengambil pendekatan holistik dalam menangani isu ini bagi memudahkan ibu bapa menyeimbangkan antara kehidupan berkeluarga dan kerjaya,” ujarnya yang juga Ketua Wanita DAP. – Roketkini.com