Berita

Muhyiddin dakwa samseng diupah serang kuil USJ

Insiden pergaduhan di Kuil Sri Maha Mariamman dekat Subang Jaya pada 26 November lalu tiada kaitan dengan isu perkauman, tegas Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Sebaliknya, kejadian itu, katanya, membabitkan pertikaian antara jawatankuasa kuil dan pihak pemaju, One City, yang merupakan pemilik tapak rumah ibadat berkenaan.

“Saya menggesa pihak-pihak yang terlibat di dalam isu pertikaian hak milik tanah tapak Kuil Sri Maha Mariamman supaya menyelesaikan pertikaian tersebut secara baik menurut saluran undang-undang.

“Jangan ada mana-mana pihak yang cuba memanipulasi isu ini untuk mencetuskan ketegangan kaum,” katanya pada sidang media, hari ini.

Menurut Muhyiddin, pihaknya telah mengarahkan polis bertindak tegas terhadap “mereka yang membuat kenyataan berbaur perkauman yang bersifat provokatif, menyebarkan berita palsu yang berunsur fitnah dan hasutan serta menganjurkan perhimpunan-perhimpunan untuk membakar sentimen kaum”.

Setakat ini, katanya, polis telah menahan 21 individu bagi membantu siasatan dan menjalankan siasatan untuk mengenalpasti individu lain yang terlibat dalam insiden yang berlaku pada dua hari lalu.

Polis juga katanya sedang menyiasat dan memburu individu yang mencetuskan rusuhan pada malam 27 November sehingga menyebabkan kecederaan kepada seorang anggota bomba dan seorang anggota polis selain kerosakan harta benda awam serta persendirian.

Muhyiddin mendedahkan, mengikut siasatan polis, Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 11 Mac 2014, merekodkan penghakiman persetujuan bahawa kuil tersebut akan dipindahkan ke satu lokasi baharu yang disediakan pihak pemaju.

Bagaimanapun, ia tidak dapat dilaksanakan ekoran mendapat tentangan kumpulan penganut agama Hindu yang tidak bersetuju dengan penyelesaian tersebut.

Setelah berkali-kali gagal untuk mengambil alih tapak tersebut, pihak pemaju merancang untuk mengambil alih tanah tersebut pada jam 7 pagi 26 November lalu. Perbincangan mengenai perkara itu telah diadakan antara pihak pemaju dan ahli jawatankuasa kuil.

Pihak polis dimaklumkan mengenai rancangan itu dan bersedia untuk mengawal ketenteraman di sekitar kawasan kuil berkenaan.

“Namun demikian, pihak yang dikaitkan dengan syarikat pemaju telah tidak mematuhi proses pengambilalihan tapak kuil sepertimana yang dirancang mengikut peruntukan undang-undang.

“Siasatan pihak polis mendapati peguam kepada syarikat pemaju telah mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk menceroboh kuil tersebut dan mengawal kawasan kuil sebelum ketibaan pihak pemaju dan polis pada pagi 26 November 2018,” ujarnya.

Berdasarkan siasatan polis, katanya, sejumlah RM150,000 diserahkan kepada ketua kumpulan untuk melakukan kerja menceroboh, mengambil alih dan mengawal kuil berkenaan.

“Seramai lebih kurang 50 orang telah diupah untuk melakukan kerja ini yang setiap setiap seorang daripada mereka menerima bayaran antara RM150 hingga RM300,” ujarnya. – Roketkini.com