Rencana

Muhyiddin jelaskan kronologi insiden di Kuil Sri Maha Mariamman

Berikut ucapan penuh Menteri Dalam Negeri, Muhyiddin Yassin berhubung insiden di Kuil Sri Maha Mariamman di Seafield, USJ, Selangor kepada Dewan Rakyat.

Tuan Yang Di-Pertua,

1. Saya ingin memberi penerangan kepada Dewan Yang Mulia ini tentang satu isu penting yang menarik perhatian rakyat pada masa ini, iaitu insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, Subang Jaya, Selangor pada 26 dan 27 November 2018.Terlebih dahulu saya ingin menjelaskan kronologi insiden ini.

Kronologi insiden

2. Pada 26 November 2018 sekitar jam 2.40 pagi, Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Subang Jaya telah menerima panggilan daripada orang awam mengenai insiden kekecohan di Kuil Sri Maha Mariamman, Seafield. Sejurus selepas menerima laporan, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah mengarahkan semua unit yang berada di lapangan menuju ke tempat kejadian.

3. Pada jam 2.50 pagi, 4 buah MPV polis tiba di tempat kejadian tetapi telah dihalang masuk oleh sekumpulan lelaki India. Cermin belakang sebuah MPV telah dipecahkan di samping terdapat sebuah lori treler tangki diletak melintang menghalang jalan menghala ke kuil.

4. Pada jam 3.30 pagi, Ketua Polis Daerah Subang Jaya telah menghubungi pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU) dan Ibupejabat Polis Daerah Serdang untuk mendapatkan bantuan tambahan anggota. Bantuan IPD Serdang dengan kekuatan seorang pegawai dan 99 anggota tiba di tempat kejadian pada jam 4.00 pagi.

5. Pada ketika itu telah berlaku pergaduhan di dalam kuil di antara kumpulan penganut agama Hindu dan kumpulan lelaki Melayu yang menceroboh kawasan kuil. Setelah tercetus pergaduhan, sebahagian daripada kumpulan lelaki Melayu ini telah melarikan diri dari kawasan kuil.

6. Sejurus selepas itu, kumpulan penganut agama Hindu telah bertindak membakar beberapa buah kenderaan yang dipercayai milik kumpulan lelaki yang mencereboh kawasan kuil. Pasukan bomba telah menerima panggilan bantuan kebakaran pada jam 4.38 pagi dan tiba di tempat kejadian 25 minit kemudian untuk mengawal kebakaran.

7. Pasukan FRU pula telah tiba di tempat kejadian pada jam 5.30 pagi dengan kekuatan 2 orang pegawai dan 201 orang anggota. Menjelang pagi 26 November 2018, keadaan di sekitar kuil telah berjaya dikawal oleh anggota polis dan keadaan kembali tenang.

8. Ekoran daripada kejadian pergaduhan ini, 3 orang lelaki Melayu dan 3 orang lelaki India telah tercedera. Seorang anggota polis turut mengalami kecederaan.

9. Keesokannya, iaitu pada awal pagi 27 November 2018, dianggarkan sejumlah 10,000 orang kaum India berkumpul di kawasan sekitar kuil. Selain merusuh beberapa buah kenderaan turut dibakar oleh kumpulan ini.

10. Anggota bomba yang berada berhampiran kawasan kuil cuba untuk memadam kebakaran ekoran rusuhan terhadap kenderaan milik bomba. Dalam kejadian tersebut, seorang anggota bomba Mohammad Adip bin Kassim telah dicederakan oleh sekumpulan individu yang tidak dikenali. Beliau mengalami kecederaan serius dan telah dibawa ke Subang Jaya Medical Centre (SJMC) oleh orang awam untuk mendapatkan rawatan.

11. Kumpulan perusuh ini juga bergerak ke pejabat One City Development Sdn Bhd. Mereka bertindak memecahkan dinding cermin bangunan, merosakkan peralatan di dalam bilik pameran dan membakar beberapa buah kenderaan.

Siasatan kes

12. Ekoran insiden ini, pihak polis telah mengambil langkah-langkah perlu untuk mengawal keadaan. Memandangkan insiden ini mempunyai unsur jenayah, siasatan telah dimulakan serta-merta untuk mengenalpasti pelaku-pelaku jenayah dan membawa mereka ke muka pengadilan.

13. Oleh kerana siasatan kes ini agak rumit dan memerlukan tenaga kerja yang ramai, saya ingin memaklumkan Dewan Yang Mulia ini bahawa sebuah pasukan petugas khas (task force) untuk siasatan telah ditubuhkan. Pasukan ini yang diketuai oleh Yang Dihormati Dato’ Sri Wan Ahmad Najmuddin bin Mohd, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, menggabungkan personel daripada Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Kontinjen Selangor, dan beberapa daerah di Kontinjen Selangor. Operasi ini dikenali sebagai ‘Ops Seafield’.

14. Sehingga kini sebanyak 34 orang telah dirakamkan percakapan. Sejumlah besar keterangan fizikal juga telah berjaya dirampas di tempat kejadian iaitu:

(i) 21 buah kereta dan 6 buah motosikal yang dibakar;

(ii) 1 bilah pisau dan 2 bilah parang; dan

(iii) 7 pasang kasut, dan 3 vest;

15. Pihak polis juga telah menangkap 30 individu yang terdiri daripada 24 orang Melayu, 2 orang India Muslim, 3 orang India dan seorang Cina. Semua mereka telah direman dengan tempoh reman yang berlainan, sementara 5 orang individu yang baru ditangkap semalam direman pada hari ini.

16. Siasatan polis menjurus kepada isu perpindahan kuil yang menjadi punca rusuhan. Untuk makluman Ahli-Ahli Yang Berhormat, pihak pemaju telah pun mendapat perintah mahkamah untuk mengambil alih pemilikan tanah sejak tahun 2014. Terdapat beberapa kali percubaan oleh pihak pemaju untuk mengambilalih tanah tersebut tetapi gagal kerana terdapat bantahan daripada kumpulan penganut agama Hindu.

17. Siasatan polis mendapati pada hari kejadian, sekumpulan lelaki Melayu yang menceroboh masuk ke dalam kawasan kuil bertindak atas arahan beberapa individu yang bekerja dengan One City Development Sdn. Bhd. Kumpulan ini telah menerima bayaran tertentu untuk tugas mengosongkan kawasan kuil bagi membolehkan kerja-kerja pengambilalihan dilaksanakan pada pagi tersebut.

18. Siasatan polis juga mendapati sejumlah RM150,000 telah dibayar kepada individu tertentu untuk melaksanakan kerja pengosongan kuil. Kumpulan lelaki Melayu berjumlah 50 orang yang menceroboh kuil pada malam kejadian didapati menerima bayaran antara RM150 dan RM300 seorang.

19. Pihak polis telah mengenalpasti beberapa individu yang memainkan peranan dalam kejadian ini dan mereka akan dipanggil untuk menjalani proses siasatan selanjutnya. Motif kejadian ini telah pun dikenalpasti dan kertas siasatan masih dalam proses untuk dilengkapkan sepenuhnya.

20. Siasatan ke atas kes pegawai bomba yang diserang pada malam 27 November 2018 juga telah dibuka di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan iaitu atas kesalahan cubaan membunuh. Beberapa rakaman video telah diperolehi dan sedang dianalisa bagi mengenalpasti individu-individu yang terlibat dalam kejadian tersebut. Pihak polis juga telah mengenalpasti anggota-anggota bomba yang berada di tempat kejadian untuk dirakamkan percakapan mereka.

21. Selain itu, beberapa kertas siasatan lain telah dibuka. Antara kesalahan-kesalahan yang sedang disiasat ialah:

(i) Seksyen 435 Kanun Keseksaan iaitu khianat dengan api;

(ii) Seksyen 148 Kanun Keseksaan iaitu melakukan rusuhan bersenjata;

(iii) Seksyen 324 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan cedera dengan menggunakan senjata;

(iv) Seksyen 447 Kanun Keseksaan iaitu pencerobohan kawasan;

(v) Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 iaitu memiliki senjata berbahaya;

(vi) Seksyen 427 Kanun Keseksaan iaitu mendatangkan khianat; dan

(vii) Seksyen 124G Kanun Keseksaan iaitu membuat kenyataan yang boleh menimbulkan apa-apa perlanggaran keamanan.

22. Pihak polis sedang menjalankan siasatan secara profesional dengan menggunakan kaedah siasatan forensik dan saintifik sepenuhnya. Untuk tujuan ini, satu pasukan khas dari Makmal Forensik Bukit Aman telah ditempatkan di Kontinjen Selangor bagi membantu siasatan.

23. Pihak polis juga amat mengalu-alukan kerjasama daripada orang ramai untuk terus menyalurkan maklumat bagi membantu siasatan. Siasatan juga dibuat ke atas berita-berita viral bagi membantu siasatan kes di samping membuat pengesahan ke atas fakta yang dikemukakan.

Insiden jenayah, bukan perkauman

Tuan Yang Di-Pertua,

24. Saya ingin memaklumkan kepada Ahli-Ahli Yang Berhormat bahawa insiden pergaduhan dan rusuhan di Kuil Sri Maha Mariamman, Siefield, tiada kaitan langsung dengan isu perkauman. Ia adalah satu kejadian jenayah yang berpunca daripada pertikaian di antara syarikat pemaju One City Development Sdn Bhd dan Jawatankuasa Kuil berhubung status pemilikan tanah tapak kuil.

25. Agak malang kerana tindakan pihak tertentu yang mengupah sekumpulan lelaki Melayu untuk mencereboh dan mengosongkan kuil pada malam kejadian telah menimbulkan kemarahan penganut agama Hindu. Kerana angkara tindakan tidak bertanggungjawab dan menyalahi undang-undang inilah wujudnya keresahan dan prasangka dalam kalangan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara kita. Di samping itu, kenyataan-kenyataan berbaur perkauman yang dikeluarkan oleh pihak-pihak tertentu juga telah mengeruhkan keadaan.

26. Saya menyeru semua pihak supaya berfikir dan bertindak secara rasional dalam menangani isu ini. Rakyat Malaysia telah mengecapi kehidupan yang aman dan harmoni sejak sekian lama. Janganlah kerana insiden jenayah yang terpencil ini kita sanggup merosakkan perpaduan dan keharmonian rakyat berbilang kaum dan agama. Janganlah kerana nila setitik, rosak susu sebelanga.

27. Bagi pihak Kementerian Dalam Negeri, saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang sengaja mengganggu-gugat keamanan dan ketenteraman awam, terutamanya dengan mengapi-apikan sentimen perkauman. Tindakan tegas berlandaskan undang-undang akan diambil oleh pihak berkuasa demi mempertahankan perpaduan kaum, keselamatan negara dan kesejahteraan rakyat.

Terima kasih, Tuan Yang Di-Pertua. – Roketkini.com