Berita

Isu rusuhan kuil serius, tapi tak wajar guna Akta Hasutan

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan mengkritik tindakan kerajaan yang membenarkan polis menggunakan Akta Hasutan bagi menangani insiden yang berlaku di Kuil Sri Maha Mariamman minggu lalu.

Meskipun mengakui kejadian itu mencetuskan kebimbangan di kalangan rakyat, katanya, terdapat undang-undang lain yang boleh digunakan polis, seperti Seksyen 505 Kanun Keseksaan, bagi mendakwa individu yang mencetuskan kekacauan tersebut.

“Kerajaan ada pilihan untuk mengambil jalan yang mudah dengan membenarkan Akta Hasutan digunakan dalam insiden di kuil tersebut. Akta Hasutan sememangnya mempunyai peruntukkan yang luas buat pihak berkuasa untuk bertindak.

“Namun, keputusan yang lebih sukar, tetapi akhirnya yang betul, adalah untuk terus berpegang pada prinsip kedaulatan undang-undang dan kekalkan sekatan ke atas penggunaan Akta Hasutan,” ujarnya dalam kenyataan.

Semalam, Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata kerajaan bersetuju untuk menggunakan Akta Hasutan 1948 dan Seksyen 223 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (CMA) bagi menangani insiden yang berlaku di kuil berkenaan.

Menurutnya, cadangan itu telah dibawa dan dipersetujui dalam mesyuarat kabinet pada 30 November lalu. Dua akta berkenaan kini sedang dalam moratorium dan kajian semula.

Antara individu yang dikenakan tindakan mengikut Akta Hasutan adalah Ahli Jawatankuasa Pemuda Umno, Wan Muhammad Azri Wan Deri atau dikenali sebagai Papagomo kerana didakwa menghasut kebencian kaum dan agama. – Roketkini.com