Rencana

Politik toksik ancaman besar terhadap Malaysia Baharu

Saya berasa amat berbesar hati kerana dijemput oleh pihak penganjur Sekolah Malam, UKM untuk hadir ke kampus UKM bagi menyampaikan ucapan, satu perkara yang tidak mungkin akan berlaku sekiranya tidak terjadi perubahan kerajaan di Putrajaya pada 9 Mei 2018.

Majlis ini diadakan sempena memperingati ulang tahun ke-50 debat budaya antara saya dan Profesor Syed Muhammad Naquib al-Attas yang berlangsung di Auditorium MARA pada 24 November 1968, yang membahaskan tentang sama ada sastera Malaysia harus dikarang hanya dalam Bahasa Malaysia, atau sama ada ia boleh digubah dalam bahasa lain, tidak kira bahasa Cina, Tamil atau Inggeris – dalam erti kata lain, membahaskan kemungkinan tercetusnya demokrasi budaya di Malaysia.  

Saya perlu kembali menyelak semula buku sulung yang diterbitkan DAP pada 1969, “Who Lives if Malaysia Dies”, bagi menggali semula ucapan yang disampaikan saya pada debat budaya itu.

Kebenaran yang diberikan pihak berkuasa untuk penganjur himpunan Anti-ICERD mengadakan himpunan di Kuala Lumpur pada Sabtu lalu mungkin tidak akan terjangkau oleh fikiran kita, malah mustahil untuk dijalankan sekiranya tidak berlaku peristiwa bersejarah pada 9 Mei 2018 yang lalu.

Namun, walaupun 9 Mei 2018 telah melahirkan visi Malaysia Baharu, tidak ada jaminan bahawa ia akan berjaya dan boleh ditubuhkan, kerana ia adalah sebuah misi yang tidak boleh dicapai dalam tempoh pendek 100 hari, dua tahun atau satu pusingan pilihan raya, tetapi sebaliknya memakan masa sedekad dua.

Terpulang kepada rakyat Malaysia untuk menghidupkan bentuk, struktur dan kekuatan Malaysia Baharu yang mana akan menjadi sia-sia sekiranya rakyat Malaysia tidak mempunyai kemahuan, stamina, ketabahan dan komitmen untuk menyelamatkan Malaysia daripada terus terjerumus menjadi sebuah demokrasi penyangak, negara gagal, kakistokrasi dan kleptokrasi global, dan bangkit menjadi negara bertaraf dunia yang bersatu padu, harmoni, demokratik, adil, progresif dan makmur.

Salah satu ancaman besar terhadap usaha pembentukan Malaysia Baharu adalah politik toksik berbaur pembohongan, kebencian, perkauman dan keagamaan.

Jika mereka percaya politik toksik sedemikian, tidak mustahil mereka juga akan percaya dakwaan bahawa saya kononnya individu paling berkuasa dan antara orang terkaya di negara ini.

Sebelum Pilihan Raya Umum ke-14, dakyah politik toksik sedemikian mendakwa bahawa kononnya saya akan menjadi Perdana Menteri Malaysia jika Pakatan Harapan menang pilihan raya itu. Apabila pembohongan dan fitnah itu dibuktikan dan ternyata tidak benar selepas 9 Mei lalu, pembohongan dan fitnah baru direka untuk menuduh bahawa kononnya sayalah yang paling berkuasa dalam kerajaan Pakatan Harapan di Putrajaya dan kononnya Dr. Mahathir Mohamad, Anwar Ibrahim, Azizah Ismail and Mohamad Sabu hanyalah pak turut dan boneka saya.

Saya juga dituduh menerima RM1 bilion daripada Mahathir untuk membolehkan beliau menyertai dan mengetuai Pakatan Harapan. Saya juga dituduh menerima RM1.2 bilion daripada sumber Israel bagi membawa agenda mereka. Terdapat juga dakwaan lain bahawa kononnya akan ada harta yang begitu besar yang akan diberikan kepada saya untuk menjadikan saya salah seorang individu terkaya di Malaysia – semua ini hanya wujud dalam dunia politik toksik berbaur pembohongan, kebencian dan ketakutan yang dimainkan oleh pemimpin politik terdesak dan oportunis.

Saya mungkin individu yang paling banyak dimomokkan dalam sejarah politik Malaysia.

Saya dituduh komunis, malah, dikatakan kononnya mempunyai pertalian saudara dengan Chin Peng; dituduh sebagai dalang rusuhan 13 Mei 1969, dituduh mengetuai tunjuk perasaan jalanan di Kuala Lumpur sambil berteriak slogan anti-Melayu dan anti-Islam walaupun saya ketika itu tidak berada di Kuala Lumpur selepas Pilihan Raya Umum 10 Mei 1969; digambarkan sebagai syaitan, puaka, malahan jembalang; bahawa saya kononnya anti-Melayu, anti-Islam, kononnya seorang agen KGB, CIA, MI6 malahan perisik Australia.  

Baru-baru ini, saya dituduh mahu memisahkan Semenanjung Malaysia kepada dua bahagian, Pantai Timur untuk orang Melayu dan Pantai Barat untuk orang Cina.

DAP telah dimomokkan dengan pelbagai pembohongan dan fitnah, namun Setiausaha Agung DAP dan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng adalah satu-satunya pemimpin politik di Malaysia yang melangkaui sempadan etnik dengan mengorbankan masa depan politik dan kedudukannya sebagai Ahli Parlimen, malah dipenjarakan, kerana mempertahankan maruah dan kehormatan gadis Melayu bawah umur, semasa beliau menjadi Ahli Parlimen Kota Melaka pada era 90-an.

Tidak ada seorang pun pemimpin politik, sama ada UMNO, MCA atau mana-mana parti Pembangkang, pernah melakukan pengorbanan sebegitu.

Himpunan Anti-ICERD di Kuala Lumpur pada Sabtu adalah hasil daripada politik toksik berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan.

Orang Melayu dari serata negeri datang ke Kuala Lumpur untuk menghadiri perhimpunan Anti-ICERD, kerana mereka dimomokkan bahawa Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) bersifat anti-Melayu, anti-Islan dan anti-Raja-raja Melayu.

Namun, adakah ICERD benar-benar anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja-raja Melayu seperti yang didakwa? Saya sendiri akan menentang sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD jika ia bersifat anti-Melayu, anti-Islam dan anti-Raja-raja Melayu.

ICERD disifatkan sebagai “agenda Freemason” dan konspirasi antarabangsa terhadap Islam untuk memusnahkan agama itu.

Jika benar, perhimpunan Anti-ICERD yang berlangsung pada Sabtu lalu harus melancarkan kempen antarabangsa untuk menyelamatkan orang Islam di seluruh dunia daripada konspirasi Freemason, kerana 99 peratus daripada 1.9 juta orang Islam di dunia tinggal di 179 negara yang telah meratifikasi ICERD.

Negara-negara ini termasuk 55 daripada 57 negara ahli Pertubuhan Persidangan Islam (OIC), seperti Arab Saudi, Indonesia, Turki, Qatar, Emiriah Arab Bersatu, Mesir, Iran, Iraq, Jordan, Kuwat, Palestin, Algeria, Morocco, Afghanistan, Bangladesh dan Pakistan.

Adakah Malaysia mahu menjadi penyelamat umat Islam bukan sahaja di dunia, malahan di tanah suci Islam di Arab Saudi atau adakah Malaysia sudah menjadi bahan ketawa dunia termasuk dunia Islam – kecuali Brunei, negara Muslim lain yang tidak meratifikasi ICERD? Mengapa tidak timbul soal agenda Freemason di sebalik ICERD?

Saya percaya majoriti rakyat Malaysia dari seluruh negara yang hadir ke perhimpunan Anti-ICERD tidak menyedari hakikat bahawa ICERD tidak bersifat anti-Melayu, anti-Islam atau anti-Raja-raja Melayu, lebih-lebih lagi 36 daripada 38 negara yang mengamalkan sistem monarki sudahpun meratifikasi ICERD sejak separuh abad lalu.

Bagaimana kita melawan politik toksik pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan?

Bukan dengan mengharamkan perhimpuan Anti-ICERD pada Sabtu. Saya menyokong “lampu hijau” yang diberikan kepada perhimpunan Anti-ICERD, demi demokrasi, kita harus bersedia untuk membenarkan rakyat bersuara dan berhimpun secara bebas, dengan syarat ia dijalankan secara aman dan mengikut undang-undang.

Namun, kita tidak harus membiarkan politik toksik berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan, perkauman dan keagamaan merebak, ia harus dikekang dengan hujah, logik, fakta dan kebenaran.

Keputusan bersejarah pada 9 Mei menunjukkan bahawa rakyat Malaysia boleh mengatasi politik toksik berbaur pembohongan, kebencian, ketakutan perkauman serta keagamaan dan bersatu padu untuk membina Malaysia Baharu yang bertaraf dunia, di mana rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, wilayah atau politik berbangga menjadi anak Malaysia.

Saya setuju dengan pandangan seorang hadirin malam ini bahawa ada yang tidak kena dengan sistem pendidikan dan asuhan agama yang diamalkan kita apabila rakyat Malaysia tidak malu digelar oleh dunia sebagai kleptokrasi global sehinggalah 9 Mei 2018. Rakyat Malaysia harus memikirkan kenyataan pahit ini.

Keputusan bersejarah pada 9 Mei 2018 bagaimanapun telah menebus maruah Malaysia dan adalah menjadi cabaran untuk kita melengkapkan tugas sebuah Malaysia Baharu, yang harus meliputi transformasi Malaysia daripada terus digelar kleptokrasi global kepada negara terkemuka yang berintegriti. – Roketkini.com

*Ucapan oleh Ahli Parlimen DAP Iskandar Puteri Lim Kit Siang pada forum “Mahu ke mana, Malaysia?” anjuran Sekolah Malam, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi pada 8.30 malam, 11 Disember 2018.