Berita

DAP akan keluar kerajaan jika…

DAP komited dengan objektif Malaysia Baharu dan akan bertindak keluar daripada gabungan kerajaan sekiranya ia tidak tercapai, tegas Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.

“Pemimpin DAP, sama ada di dalam atau di luar kerajaan, tidak teragak-agak untuk meninggalkan gabungan kerajaan jika objektif Malaysia Baharu diabaikan.

“Pemimpin DAP tidak akan jadi lemah seperti pemimpin-pemimpin MCA,” katanya dalam kenyataan.

Istilah Malaysia Baharu muncul selepas Pakatan Harapan berjaya menewaskan Barisan Nasional (BN) yang memerintah Malaysia sejak enam dekad lalu.

Beliau berkata demikian menjawab kebimbangan ahli perniagaan Tan Sri Clement Hii bahawa DAP akan jadi seperti MCA.

Kit Siang dalam pada itu turut menyenaraikan sebab mengapa DAP tidak akan jadi MCA2.

Antaranya adalah kerana DAP parti berbilang kaum, berbeza dengan MCA yang mewakili hanya orang Cina.

“Politik berbilang bangsa DAP adalah satu-satunya cara untuk membina sebuah Malaysia bersatu padu dan berjaya, amalan politik berteraskan satu kaum sahaja tidak akan mampu menyatukan Malaysia yang berbilang kaum,” ujarnya. – Roketkini.com