Berita

‘Kalau PH salah guna kuasa, saya dah naik helikopter’

Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang membidas Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) melakukan “rompakan di siang hari” dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands.

“Jika Pakatan Harapan salah guna kuasa dan salah guna sumber kerajaan, saya tidak akan terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang Tahun Baharu, kerana sudah pasti akan dihantar sebuah helikopter untuk membawa keluar saya dari kampung tersebut.

“Bayangkan jika Najib masih perdana menteri dan terperangkap di Kampung Orang Asli Simoi lama pada ambang Tahun Baharu, terputus dari dunia luar? Tidak dapat dibayangkan!

“Namun, tidak ada helikopter yang mengangkut saya keluar dari Kampung Orang Asli Simoi Lama pada ambang Tahun Baharu, sekaligus bukti paling kukuh bahawa Pakatan Harapan tidak seperti Umno atau Barisan Nasional,” tegasnya dalam kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Kit Siang berkata, PH melakukan “keajaiban” jika menang PRK Cameron Highlands kerana kerusi itu sekian lama menjadi deposit tetap BN.

Namun, Annuar Musa memperkecilkan kenyataan itu dengan mendakwa kononnya PRK itu diadakan di atas “padang yang tidak rata” dan mendakwa PH melakukan “rompakan siang hari” dalam PRK itu.

Untuk rekod, PRK Cameron Highlands diadakan susulan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur memutuskan kemenangan Datuk C Sivarraajh bagi kerusi Parlimen Cameron Highlands pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) adalah terbatal ekoran berlakunya rasuah. – Roketkini.com

(Baca selanjutnya di sini: https://www.roketkini.com/2018/11/30/kerusi-cameron-highlands-kosong-calon-dap-berjaya-buktikan-amalan-rasuah-bn/)