Berita

Calon BN takut debat, bagaimana nak bahas di Parlimen?

Calon Pakatan Harapan bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands, M Manogaran kesal kerana calon Barisan Nasional, Ramli Md Noor tidak hadir pada debat terbuka yang dianjurkan Bersih 2.0, semalam.

Beliau justeru mempersoalkan kemampuan Ramli untuk membawa suara penduduk Cameron Highlands di Parlimen, jika berhadapan dengan masyarakat dan pihak lawan dalam acara debat terbuka pun beliau tidak berani.

“Kalau kamu (Ramli) tak berani (berdebat), jangan jadi calon PRK,” tegas Manogaran sambil disambut tepukan hadirin.

Acara debat yang julung kali diadakan di Malaysia itu disiarkan secara langsung di saluran televisyen Astro Awani dan TV1.

Selain Manogaran, ia turut menampilkan dua calon bebas, Salehuddin Abdul Talib dan Wong Seng Yee serta Prof Madya Faisal S Hazis dari Universiti Kebangsaan Malaysia selaku pengerusi.

Terdahulu, Manogaran yang juga Naib Pengerusi DAP Pahang, melahirkan rasa kesal terhadap tindakan Barisan Nasional yang memainkan isu perkauman dan agama di Cameron Highlands.

Naib Pengerusi DAP Pahang itu menegaskan bahawa beliau berpegang kepada prinsip Perlembagaan negara, dan tidak akan sekali-kali membelakangi undang-undang tertinggi negara itu.

“Kita terima itu (Perlembagaan), tidak ada masalah.

“Jadi mengapa mereka (masih) melemparkan fitnah sedemikian? Saya mohon jangan politikkan isu perkauman hanya kerana mahu menang pilihan raya,” ujarnya.

Untuk rekod, DAP sering menjadi sasaran UMNO, dan sejak akhir-akhir ini PAS, dengan pelbagai tohmahan jahat yang dilihat sebagai percubaan untuk menakut-nakutkan orang Melayu negara ini.

Manogaran dalam pada itu berkata, beliau akan menekankan pembangunan mampan di semua sektor termasuk pelancongan, pertanian, pengangkutan, pendidikan dan kesihatan serta mahu memastikan tanah Orang Asli dilindungi.

“Kalau saya ahli Parlimen anda, saya akan desak Putrajaya dengan lebih kuat,” katanya. – Roketkini.com