Berita

Lepas isu RM90 juta disiasat, PAS ‘minta nyawa’ pada PM?

Selepas episod Nik Mohamad Abduh Nik Mat kantoi berbohong sehingga membawa kepada siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap PAS berhubung dana RM90 juta daripada UMNO, PAS kini mencipta pula drama dan naratif pembohongan baru. 

Semua ini dilakukan PAS semata-mata untuk menyelamatkan tembolok mereka selepas habis semua pekung pecah.

Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang sudah mencium bau bahaya berikut langkah SPRM yang dilaporkan mahu menyiasat penderma tetap dan kroni partinya itu. 

Abdul Hadi membuat keputusan untuk bertemu Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad atas alasan kononnya mahu membincangkan hal berkaitan pentadbiran.

Ini adalah Abdul Hadi yang sama yang pernah menyeru agar pengundi menolak Dr Mahathir pada PRU lepas. 

Pun begitu, tembelang Abdul Hadi bocor. Pertemuan itu bukan sekadar tentang soal pentadbiran tetapi lebih jauh dari itu.

PAS dikatakan menyatakan sokongan pula menerusi draf bertulis bahawa akan menyokong kepimpinan Dr Mahathir jika timbul undi tidak percaya terhadap Presiden Pakatan Harapan itu.

Ia sekadar untuk mencipta persepsi bahawa kononnya wujud perpecahan dalam Pakatan Harapan.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim menolak pembohongan tersebut dan menyifatkan ia sebagai helah PAS untuk menutup isu RM90 juta.

Politik PAS begitu dinamik, daripada menggunakan alasan berbohong demi menjaga kemaslahatan sehingga mencipta cerita karut bahawa kononnya Pakatan Harapan diambang perpecahan.

Semua ini dilakukan untuk menutup cerita pembohongan dan isu RM90 juta yang membelit parti itu kini.

Entah apa lagi yang tinggal dalam kamus kewujudan PAS, mungkin hampir tidak ada, apatah lagi integritinya sendiri. – Roketkini.com