Berita

3 pemimpin DAP di tangga teratas menteri paling diyakini

Sebuah syarikat perhubungan awam mendapati Anthony Loke, Lim Guan Eng dan Gobind Singh Deo adalah antara pemimpin DAP yang paling diyakini rakyat menerusi satu kaji selidik yang dijalankan mereka.

Mereka masing-masing berada di tempat kedua, ketiga dan keempat di belakang Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurut Pengurus Citrine One, Ivlynn Yap, kemampuan pemimpin Pakatan Harapan itu dalam menyampaikan maklumat dengan mudah menjadi antara faktor mengapa mereka dipilih sebagai menteri paling diyakini.

“Cara pemilihan ayat oleh Mahathir sendiri memberi kesan yang mendalam sehingga mampu menggulingkan kerajaan terdahulu,” katanya seperti dilapor media.

Menurut Citrine, kaji selidik itu melibatkan 321 responden di seluruh negara. Mengikut pecahan kaum, responden Melayu adalah yang paling ramai melibatkan 43.69 peratus diikuti Cina (17.8 peratus); India (34.6 peratus) dan lain-lain (4 peratus).

Ia dijalankan selama sebulan, dari 22 Januari hingga 21 Februari lalu.

Di bawah Kabinet Mahathir, Guan Eng antara pemimpin DAP terawal yang dilantik sebagai Menteri Kewangan dan disusuli dengan pelantikan Anthony Loke selaku Menteri Pengangkutan dan Gobind sebagai Menteri Komunikasi dan Multimedia. – Roketkini.com