Berita

Kerajaan PH dukung usaha martabat Islam – Lim Guan Eng

Kerajaan Pakatan Harapan (PH) akan terus mendukung usaha pembangunan dan kebajikan Islam selaras dengan Perlembagaan, tegas Menteri Kewangan, Lim Guan Eng.

Menyatakan komitmen ini, katanya, peruntukan sebanyak RM5 juta telah disalurkan kepada Nasyrul Quran bagi menampung kos operasi 2019 dan membantu ia mencapai sasaran untuk mencetak 500,000 naskah mushaf al-Quran.

Tambahnya, ia adalah selaras dengan matlamat kerajaan PH yang dianggotai Bersatu, PKR, DAP dan Amanah bagi meneruskan agenda syiar Islam.

“Ini juga adalah ke arah mewujudkan masyarakat bertamadun dan bermaruah seperti yang digagaskan Perdana Menteri, YAB Tun Dr. Mahathir Mohamad,” kata dalam ucapan pada majlis penyerahan cek di Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya, semalam.

Kompleks Nasyrul Quran adalah pusat percetakan al-Quran yang diiktiraf sebagai yang kedua terbesar di dunia selepas Kompleks Percetakan al-Quran Raja Fahd di Madinah, Arab Saudi.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Setiausaha Agung DAP berkata, peruntukan itu adalah sebahagian daripada peruntukan yang telah diluluskan kerajaan PH kepada institusi dan badan Islam di Malaysia.

Menerusi Belanjawan 2019, katanya, kerajaan PH menyalurkan peruntukan sebanyak RM652 juta berbanding RM600 juta pada Bajet 2018 bagi menyelenggara dan menaik taraf semua jenis sekolah.

Peruntukan itu termasuk RM25 juta untuk sekolah pondok berdaftar yang mana telah disampaikan oleh Kementerian Kewangan kepada Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mujahid Rawa pada Januari lalu.

“Kerajaan juga telah memberikan peruntukan sebanyak RM50 juta untuk digunakan bagi menaik taraf dan menyelenggara sekolah tahfiz yang berdaftar.

“Tambahan lagi, peruntukan untuk hal ehwal agama Islam juga telah ditingkatkan sebanyak RM100 juta di dalam Belanjawan 2019, daripada RM1.1 bilion kepada RM1.2 bilion,” ujarnya. – Roketkini.com