Berita

Henti tunding jari, ambil pengajaran dan dapatkan semula keyakinan rakyat – DAPSY

DAP tidak wajar dipersalahkan atas kekalahan Pakatan Harapan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands dan Semenyih, kata Naib Ketua Sosialis Muda DAP (DAPSY), Muhammad Shakir Ameer.

Sebaliknya, kata beliau, kekalahan tersebut harus dilihat sebagai kegagalan bersama.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Bersatu Negeri Sembilan Dr Rais Yatim yang dilaporkan berkata bahawa “imej DAP” menjadi sebab kekalahan PH minggu lalu.

“Tidak adil bagi seorang pemimpin Bersatu seperti Rais Yatim untuk menyalahkan DAP atas kekalahan di Semenyih baru-baru ini.

“Beliau tidak sepatutnya dengan mudah terperangkap dengan naratif PAS-Umno yang memburukkan imej DAP.

“Kemenangan PRU ke-14 adalah kejayaan bersama empat parti komponen PH. DAP berjaya memberikan jumlah kerusi yang diperlukan yang turut menyumbang kepada kemenangan PH.

“Kekalahan dalam dua PRK terakhir juga kegagalan bersama PH secara keseluruhan. Maka kekalahan di Semenyih perlu dilihat sebagai tanggungjawab bersama keempat-empat parti komponen,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rais seperti dilapor Utusan Malaysia semalam berkata PH perlu melunakkan imej DAP jika mahu orang Melayu kembali menumpukan kes yang dihadapi bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Shakir menegaskan PH tidak boleh hanya bergantung kepada dakwaan terhadap Najib semata-mata untuk meraih sokongan rakyat.

“Rakyat tahu Najib korup, sebab itulah dia kehilangan kuasa. Kita tidak boleh terus bergantung kepada dakwaan terhadap seorang individu untuk dapatkan sokongan.

“Sokongan datang daripada kita, secara kolektif sebagai PH, dan bukan kelemahan seorang individu atau partinya yang telah pun hilang kuasa,” katanya lagi.

Beliau turut menasihati pemimpin PH agar tidak saling menuding jari untuk setiap kegagalan, tetapi sebaliknya mengambil pengajaran dan mencari jalan untuk mendapatkan semula kepercayaan rakyat. – Roketkini.com