Rencana

Lawan retorik haluan kanan dengan naratif nasional baharu

Kemenangan BN di Semenyih, antara banyak perkara, adalah sesuatu yang paling tidak dijangka. Meskipun Semenyih secara tradisinya merupakan kerusi BN sehingga Pilihan Raya Umum ke-14, fakta angka menunjukkan walaupun PAS menyokong BN/UMNO, Pakatan Harapan (PH) sepatutnya mempunyai undi yang cukup untuk memenangi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor tersebut.

Tidak kurang para penganalisis yang meneliti data di Semenyih bagi mencari apa yang sebenarnya berlaku terhadap PH dan BN. Sudah tentu, persepsi bahawa PH tidak menunaikan semua janji manifesto Buku Harapan adalah antara sebab utama kekalahan tersebut, selain beberapa kegagalan dan isu lain yang membelenggu PH yang baru beberapa bulan mentadbir Kerajaan Persekutuan.

Namun apa yang wajar direnung, Semenyih adalah merupakan kemenangan kedua berturut-turut yang diperolehi gabungan UMNO-PAS. Pemimpin yang paling moderat dan berhaluan tengah dalam UMNO sendiri mula mengakui bahawa retorik perkauman dan keagamaan, yang bertopengkan “Penyatuan Melayu”, telah membuahkan hasil.

Jika “swing” seperti yang berlaku di Semenyih berulang di peringkat nasional, tidak mustahil kita akan melihat UMNO kembali berkuasa bersama-sama PAS.

Perikatan UMNO-PAS

Pemimpin UMNO yang sebelum ini tidak menyenangi naratif haluan kanan nampaknya mula terjerumus dalam retorik perkauman dan keagamaan. Setiausaha Agung BN, Nazri Abdul Aziz, sebagai contoh, menyamakan pelantikan Ketua Hakim, Peguam Negara dan Menteri Kewangan dari kalangan orang bukan Islam sebagai “menjual hak orang Melayu” dan mendakwa mereka tidak terikat dengan janji-janji amanah yang dipegang mereka kerana tidak mengangkat sumpah jawatan dengan Al-Quran.

Pemangku Presiden UMNO Mohamad Hasan juga tidak ketinggalan dalam menyemarakan sentimen perkauman dan keagamaan. Beliau dilaporkan berkata bahawa kerajaan hari ini dipenuhi begitu ramai “penumpang”, merujuk kepada jumlah menteri bukan Melayu dalam kerajaan. Walaupun kedengaran lebih “lembut” berbanding kenyataan Nazri, apa yang tersirat daripada kenyataan “penumpang” Tok Mat itu tidak jauh beza dengan apa yang diutarakan Nazri; bahawa kononnya orang Melayu terancam di bawah kerajaan PH. Penggunaan perkataan penumpang itu bukanlah sesuatu yang tidak disengajakan, penumpang tidak memiliki harta yang mereka tumpang. Maka, bukan Melayu, menurut Tok Mat, tidak memiliki negara ini.

Politik seumpama ini amat bahaya kepada negara. Untuk beberapa tahun akan datang, kita akan melihat setiap isu akan dipandang dari sudut perkauman dan keagamaan sementelah UMNO dan PAS mengukuhkan kerjasama politik mereka. Dari perspektif mereka, ini adalah jalan yang harus dirintis mereka untuk ke tampuk kuasa dan mereka akan mempergunakannya sehabis-habisnya. Kita mungkin boleh mempunyai sebuah parti politik sama yang berkuasa selama 61 tahun sehingga 2018, namun kerajaan persekutuan akan tetap terus menjadi kerajaan yang berkhidmat untuk semua rakyat Malaysia. Kerajaan yang dibina hasil daripada sentimen perkauman dan keagamaan hanya akan memuaskan hati pengundinya sahaja.

Tidak dinafikan bahawa kerajaan harus mempertingkatkan tahap kehidupan warganya, menunaikan segala janji-janjinya dan memelihara keadilan sosial. Malah, isu-isu kos sara hidup harus ditangani. Namun, dalam masa sama, kita tidak harus membiarkan gelombang politik ekstrem haluan kanan terus-menerus berkembang tanpa dikekang.

Kebimbangan yang timbul ialah jika gelombang ini berubah menjadi tsunami, meskipun keadilan sosial dicapai dan janji-janji manifesto ditunaikan, ia akan memberi kesan yang lemah jika rakyat tetap mengundi berdasarkan pertimbangan kaum dan agama. Ini bukan suatu trend yang baru, kemenangan Donald Trump dan pemimpin berhaluan kanan lain di dunia sudah cukup membuktikan bahawa perkara ini tidak mustahil berlaku di negara ini.

Naratif nasional baru

Justeru itu, apa yang boleh dilakukan bagi melawan retorik perkauman dan keagamaan? Sudah tentu bukan dengan cara memenuhi hasrat haluan kanan dalam masyarakat. Dan bukan juga meniru jalan yang telah dirintis pihak yang mahu memecah-belahkan kita.

Kita memerlukan sebuah naratif nasional baharu; kita memerlukan satu mesej bersifat inklusif yang menyatukan kita semua. Kita memerlukan satu visi bagi Malaysia “baharu” ini. Satu penyataan tentang negara yang bagaimana yang kita hasratkan selama ini. Bukan untuk merunding semula apa yang telah termaktub, tetapi sebaliknya meninjau semula prinsip-prinsip persekutuan yang dibina bapa pengasas kita.

Saya percaya naratif nasional ini harus berlandaskan prinsip-prinsip berikut:

  1. Penegasan semula bahawa negara ini adalah milik semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kaum, agama, kepercayaan, kelas, jantina atau identiti seksual, ideologi politik dan lain-lain perbezaan.
  2. Bahawa kita akan tetap menjunjung prinsip dan struktur asas Perlembagaan Persekutuan, menghormati kedaulatan undang-undang serta mengangkat kebebasan asas semua rakyat Malaysia. Malaysia harus menjadi negara demokratik dan bebas berdaulat berasaskan prinsip kebebasan dan keadilan.
  3. Bahawa kita akan memastikan tidak ada seorang pun rakyat Malaysia yang ketinggalan; tiada satu masyarakat pun akan dipinggirkan atau dikecualikan daripada arus pembangunan negara. Semua rakyat Malaysia harus dibenarkan dan diberikan peluang untuk mencapai potensi sepenuhnya sebagai warga negara ini dengan hak dan tanggungjawab.
  4. Untuk Malaysia mencapai potensi sepenuhnya, semua rakyat Malaysia harus bekerjasama bagi menghadapi cabaran dunia globalisasi dan menjadikan negara ini tempat yang lebih baik untuk dihuni semua rakyat Malaysia. Untuk bekerja dengan segala kudrat dan akal yang dikurniakan bagi membina sebuah negara yang mampu dibanggakan, diilhamkan dengan cita-cita kebebasan dan keadilan serta menjadi “…. suar cahaya dalam dunia yang yang terganggu dan bingung”.

Kita harus berusaha untuk menyedari kata-kata Tunku Abdul Rahman yang mahukan negara ini menjadi “[…] negara demokratik dan bebas berdaulat yang berasaskan prinsip kebebasan dan keadilan serta sentiasa berusaha menjaga kebajikan dan kebahagiaan rakyatnya dan mengekalkan keamanan antara semua negara.”

Kita tidak perlu menyemarakan lagi api perkauman dan sektarianisme dengan api, sebaliknya mengambil iktibar daripada peribahasa “bulat air kerana pembetung, bulat manusia kerana muafakat”. Kita akan lebih kuat sekiranya bersatu padu, dan bukannya berpecah-belah. – Roketkini.com

*Syahredzan Johan adalah peguam merangkap Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang.