Berita

DAP kecam serangan tembakan masjid di New Zealand

DAP hari ini mengecam serangan kejam ke atas masjid di Christchurch, New Zealand yang telah mengorbankan dan mencederakan puluhan nyawa, termasuk seorang warga Malaysia.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menyifatkan ia bukan sahaja jenayah terhadap masyarakat Islam di Christchurch bahkan terhadap kemanusiaan secara keseluruhan.

“Tiada agama yang membenarkan keganasan terhadap orang yang tidak bersalah, dan kejadian ini adalah bertentangan dengan ajaran semua agama.

“DAP berharap agar keluarga-keluarga mangsa dan masyarakat Christchurch akan dapat melalui peristiwa jenayah yang tragik ini dengan penuh kesabaran dan rasa belas kasihan terhadap mangsa-mangsa kejadian.

“Kami juga berharap agar mereka terus berada dalam keadaan sihat dan selamat, dan agar mereka yang terkesan daripada kejadian ini dapat cepat pulih,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Penyerang bersenjatakan raifal automatik menyerbu dan melepaskan tembakan rambang di dua masjid dekat Christchurch yang penuh dengan jemaah menjelang solat jumaat hari ini.

Kira-kira 40 jemaah terbunuh dan 20 lagi cedera dalam serangan tersebut.

Mengulas lanjut, Guan Eng yang juga Menteri Kewangan berkata, DAP percaya kerajaan New Zealand sedang melakukan yang terbaik bagi memastikan keadaan terkawal dan mengheret pihak yang bertanggungjawab ke muka pengadilan.

“DAP juga berharap agar rakyat Malaysia yang tercedera dalam serangan ini selamat dan akan cepat sembuh.

“Doa dan harapan kami agar rakyat Malaysia dan masyarakat di Christchurch yang terperangkap dalam serangan ini kekal selamat,” ujarnya. – Roketkini.com