Berita

PAS digesa terima nasihat UNESCO, benarkan semula Mak Yong, Wayang Kulit

Seorang pemimpin DAP hari ini menyatakan sokongan terhadap gesaan Pertubuhan Bangsa-Bangsa (PBB) supaya Kerajaan Negeri Kelantan menarik balik larangan ke atas tarian tradisional seperti Wayang Kulit dan Mak Yong daripada dipersembahkan di negeri itu.

“Wayang Kulit dan Mak Yong adalah antara persembahan budaya tertua di dunia yang perlu diangkat, dipelihara dan dihargai, ia harus diturunkan kepada generasi akan datang.

“Tarian Mak Yong juga adalah tarian tradisional yang tertua di Kelantan, malah diiktiraf oleh UNESCO sebagai sebuah warisan dunia,” kata Adun Keranji, Chong Zhemin dalam kenyataan, hari ini.

Selasa lalu, pelapor PBB Karima Bennounce seperti dilapor media menggesa Kerajaan Negeri Kelantan membatalkan larangan ke atas Mak Yong, wayang kulit dan lain-lain bentuk persembahan tradisional Melayu.

“Malaysia terkenal dengan persembahan dan amalan tradisional yang luar biasa. Saya fikir amat memalukan jika budaya ini diharamkan di negeri asal ia dilahirkan,” katanya seperti dipetik media.

Zhemin dalam pada itu, turut melahirkan kebimbangan jika larangan itu akan turut diperluaskan di beberapa negeri lain susulan kerjasama antara UMNO dan PAS.  

“Kerajaan Negeri Kelantan sebelum ini menyatakan bahawa Wayang Kulit dan Mak Yong boleh dipentaskan di negeri lain.

“Dengan UMNO dan PAS kini membentuk kerjasama dan meneroka kemungkinan untuk menubuhkan kerajaan perpaduan, adakah larangan Wayang Kulit dan Mak Yong ini akan diperluaskan ke negeri yang majoriti kerusinya dipegang oleh UMNO dan PAS iaitu di Terengganu dan Pahang?” katanya yang Setiausaha Publisiti DAP Perak.

Beliau turut menyatakan kebimbangan sama ada larangan itu akan diperluaskan di seluruh negara jika gabungan PAS dan UMNO, bersama-sama MCA dan MIC dalam Barisan Nasional, menang pilihan raya seterusnya.

“Jika perikatan PAS-UMNO-MCA-MIC (PUMM) ini menang pilihan raya seterusnya, adakah persembahan Mak Yong dan Wayang Kulit akan dilarang di seluruh negara?” soalnya. – Roketkini.com