Berita

Wanita DAP Selangor kutuk tindakan conteng pejabat ADUN

Wanita DAP Selangor hari ini mengutuk sekeras-kerasnya tindakan pihak tidak bertanggungjawab menconteng dinding Pusat Khidmat ADUN Padang Lalang dengan perkataan berbaur provokasi.

Menyamakan insiden itu dengan pepatah “baling batu, sembunyi tangan”, Pengerusinya, Lee Kee Hiong berkata, walaupun negara meraikan kebebasan bersuara, ia tetap ada batasnya.

“Mereka patut menjemput ADUN Padang Lalang Sdri Chong Eng untuk berbahas secara terbuka atau mengambil tindakan undang-undang sekiranya merasakan yang Sdri Chong Eng telah melakukan sesuatu yang menjejaskan kedudukan atau kepentingan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Mengulas lanjut, Kee Hiong yang juga ADUN Kuala Kubu Bharu turut menyeru agar semua rakyat Malaysia tanpa mengira kaum bersolidariti bersama Chong Eng bagi mengutuk tindakan tersebut.

Katanya lagi, keharmonian antara kaum yang dipupuk generasi terdahulu harus terus disemai dan dijaga.

“Pepatah Melayu ada menyebut ‘tak kenal maka tak cinta’.

“Kita harus saling mengenal dan memahami antara satu sama lain supaya pihak tertentu tidak mempunyai ruang untuk menjejaskan keharmonian kaum yang semakin hari semakin melemah ini. – Roketkini.com