Berita

KJ tak faham budaya bincang dengan pihak berkepentingan?

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Ong Kian Ming hari ini mengulas twit berbaur sindiran oleh bekas Menteri UMNO, Khairy Jamaluddin berhubung perkataan “kenderaan terbang” dalam dokumen kajian Dasar Kebangsaan Automotif (NAP).

Jelas Kian Ming, rujukan kepada “kenderaan terbang” tersebut adalah bertujuan untuk mencetuskan wacana mengenai piawaian serta peraturan jika industri automotif negara membuat keputusan untuk menggunakan teknologi sedemikian pada masa hadapan.

“Adalah amat malang bahawa Ahli Parlimen Rembau Khairy Jamaluddin memilih untuk mengetengahkan satu rujukan kecil kepada teknologi khusus (bagi tujuan penetapan piawaian) dalam dokumen perbincangan, daripada memberikan perhatian terhadap cabaran lebih besar yang dihadapi, iaitu bagaimana untuk membangunkan dan mengembangkan seluruh landskap automotif di Malaysia.

“MITI terbuka untuk menimbangkan sebarang cadangan konkrit daripada MP Rembau mengenai sektor automotif,” katanya yang juga Ahli Parlimen Bangi dalam kenyataan, hari ini.

Jelas Kian Ming, dokumen berkenaan adalah sebahagian daripada pembentangan oleh MITI kepada pihak berkepentingan dalam industri automotif yang terbabit dalam semakan semula dasar automotif.

Malah, ia turut memuatkan penafian yang dengan jelas menyatakan dokumen itu adalah draf dan disediakan hanya untuk “tujuan perbincangan dan tertakluk kepada perubahan dan tidak diperakukan kerajaan Malaysia”.

Dokumen itu turut memuatkan perbincangan mengenai projek kereta nasional yang baharu fokus kepada teknologi baharu, termasuk jangkaan kenderaan generasi akan datang (NxGV), yang merupakan kenderaan cekap tenaga (EEV) selaras Revolusi Perindustrian 4.0 dan kecerdasan buatan, serta bercirikan mobiliti sebagai perkhidmatan.

“Tiada langsung disebut kenderaan terbang dalam perbincangan mengenai projek kereta nasional.

“Slaid yang ditunjukkan oleh MP Rembau dalam ciap beliau adalah di bawah topik kecil pembangunan ekonomi dan dalam konteks untuk menetapkan piawaian dan spesifikasi bagi banyak jenis kenderaan termasuk NxGV, kenderaan komersial dan motosikal yang merupakan EEV dan/atau kenderaan elektrik,” ujarnya yang juga Timbalan Pengarah Pendidikan Politik DAP.

Malah, jelasnya yang juga suntikan dana sebanyak RM8 juta yang telah disalurkan untuk projek kereta nasional ketiga bukan untuk menghasilkan prototaip kereta terbang.

Tambahnya lagi, projek kereta nasional berdasarkan dasar automotif yang dikaji tidak menyebut mengenai kereta terbang.

“Sepanjang pengetahuan saya, prototaip tersebut tidak membabitkan kereta terbang,” ujarnya. – Roketkini.com