Rencana

Belangsungkawa: Perginya anak Malaysia Sabah

DAP berdukacita atas kematian secara mengejut Pengerusi DAP Sabah, Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, dan ahli Parlimen Sandakan Datuk Stephen Wong pagi ini pada umur 64 tahun. Pemergian Stephen merupakan sebuah kehilangan yang besar bukan sahaja kepada keluarganya dan DAP, tetapi juga kepada Sabah dan Malaysia.

Stephen Wong adalah antara pemimpin utama DAP dan Pakatan Harapan yang mengepalai perjuangan menentang BN di Sabah sewaktu di bawah kepimpinan UMNO yang korup dan menindas. Stephen benar-benar percaya dengan agenda DAP untuk membina Malaysia pelbagai kaum dan pelbagai budaya yang menjunjung kedaulatan undang-undang, mendukung hak-hak negeri Sabah, dan meraikan kepelbagaian. Beliau menyertai DAP dengan harapan dapat menjadikan Sabah negeri yang dihormati, dan juga membantu Sabah berintegrasi dengan lebih erat dengan bangsa Malaysia.

Manfaat daripada perubahan kerajaan dapat dilihat daripada penubuhan sebuah kerajaan baharu yang bersih dan mengutamakan rakyat bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di Malaysia. Lebih utama lagi, Sabah tidak lama lagi bakal mengembalikan statusnya sebagai salah satu dari pada 3 entiti utama yang membentuk Persekutuan Malaysia.

Sokongan Kerajaan Pakatan Harapan terhadap pindaan perlembagaan yang bersejarah minggu hadapan di Parlimen untuk mengembalikan status Sabah dan Sarawak merupakan antara manfaat jelas hasil perubahan kerajaan. Ini tentu merupakan satu peristiwa yang sangat membanggakan untuk ahli Parlimen dari Sabah dan Sarawak.

Adalah sangat menyedihkan yang Stephen tidak dapat hadir untuk bersama-sama dengan ahli-ahli Parlimen yang lain mengundi untuk menyokong pindaan perlembagaan ini dan mengembalikan status dan maruah negeri Sabah. Semoga roh beliau bersemadi dengan aman dan sumbangan-sumbangan beliau terus dikenang.

Dengan membantu usaha menyingkirkan sebuah rejim yang korup dan menindas bukan sahaja di Sabah, tetapi juga di Malaysia, Stephen antara saksi dan penggerak utama dalam sejarah untuk kedua-dua negeri dan negara. DAP menyampaikan ucap takziah yang mendalam kepada keluarga dan isteri beliau, dan berharap agar mereka dapat menghadapi kehilangan yang besar dan pedih ini dengan mengingati kejayaan-kejayaan beliau, memori-memori gembira mereka bersama, kesetiaan dan kasih sayang beliau kepada mereka. – Roketkini.com

*Lim Guan Eng adalah Setiausaha Agung DAP merangkap Ahli Parlimen Bagan