Berita

Pemimpin UMNO biadab jadikan keganasan terhadap wartawan bahan jenaka

Sikap samseng pemimpin UMNO dan pengikutnya bukan sahaja terserlah di tempat awam, malah di dalam Dewan Rakyat.

Ketika Menteri Komunikasi dan Multimedia Gobind Singh Deo berucap mengenai keganasan terhadap wartawan Ahli Parlimen pembangkang boleh pula bergelak ketawa seolah-olah ia perkara remeh.

Sikap kebudak-budakan Ahli Parlimen pembangkang itu mendapat teguran pedas Gobind.

“Mungkin kita gelakkan di dewan ini, tetapi kalau kamu di situ hari itu, sebagai wartawan yang kena serang itu saya rasa perasaan yang berhormat mungkin berbeza.

“Jadi jangan kita ketawakan perkara itu seolah ia perkara yang remeh di mana perkara itu seharusnya kita ambil serius,” katanya.

Gobind merujuk insiden beberapa penyokong tegar Datuk Seri Najib Razak menyerang secara fizikal dan lisan dua wartawan Malaysiakini yang membuat liputan program bekas Perdana Menteri itu, minggu lalu.

Antara yang terlibat dalam insiden itu adalah Lokman Adam, yang semakin hari semakin galak mempertahankan bosnya Najib Razak.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur Mazlan Lazim mengesahkan akan mengenakan tuduhan terhadap pihak yang terlibat dalam insiden itu tidak lama lagi.

Mengulas lanjut, Gobind dalam nada kesal menegaskan bahawa keganasan terhadap wartawan tidak dapat diterima sama sekali.

“Kalau kita tidak setuju dengan fakta yang dilaporkan, kita ada ruang untuk perbetulkan.

“Kita boleh hubungi mereka dan beritahu apa penjelasan kita. Kalau sekiranya perlu ambil tindakan ke mahkamah atau buat laporan polis,” katanya. – Roketkini.com