Wawancara

Nga Kor Ming mesra Islam, sayang budaya Melayu

Begitu banyak salah faham yang timbul berhubung perkataan “taliban” yang dirujuk Nga Kor Ming bagi mengambarkan kebimbangan beliau terhadap peningkatan fahaman ekstremisme dan sikap fanatik melulu sesetengah pengikut dan pemimpin parti politik di negara ini.

Dalam wawancara bersama Roketkini baru-baru ini, Ahli Parlimen Teluk Intan itu menjelaskan, kebimbangan itu terzahir daripada sikap UMNO dan PAS yang seringkali memainkan sentimen kaum dan agama bagi menyerang Pakatan Harapan, khususnya DAP, dengan pelbagai fitnah.

Fitnah itu kemudiannya dijaja di kalangan rakyat dan diulang-ulang –  meskipun pelbagai penjelasan telah diberikan dan banyak kes saman telah dimenangi oleh pemimpin DAP.

Sebagai contoh, baru-baru ini Naib Presiden UMNO, Ismail Sabri, yang mengakui terkhilaf kerana memfitnah Penolong Bendahari DAP Kebangsaan, Ngeh Koo Ham dengan tohmahan anti-Islam telah diarahkan membayar pampasan RM80,000 selain kos RM5,000 oleh mahkamah pada 1 April lalu.

Namun, Ismail Sabri, yang disifatkan Koo Ham sebagai “bukan seorang yang berkaliber”, masih tidak bertaubat, apabila sekali lagi mengulangi dakwaan tersebut dalam sebuah program anjuran UMNO.

Sikap pemimpin UMNO dan kini PAS, yang mengulang-ulang fitnah dan tohmahan berniat jahat terhadap DAP (meskipun telah dihakimi di mahkamah) inilah yang membantutkan penyaluran maklumat yang benar dan tepat berhubung dasar DAP yang sememangnya mesra Islam dan orang Melayu.

UMNO menyerang DAP dengan tuduhan anti-Melayu, sementara di sebelah pihak, PAS memfitnah DAP dengan tuduhan anti-Islam. DAP diserang di setiap penjuru oleh kedua-dua parti-parti politik berkenaan hanya kerana bimbang pengaruh mereka di kalangan orang Melayu terhakis, kerana pekung ketirisan dan kegiatan rasuah pemimpin BN pada pentadbiran terdahulu telah terbocor – Berpuluh tuduhan dikenakan terhadap Najib Razak di mahkamah.

Namun begitu, DAP tetap teguh meskipun dilemparkan dengan pelbagai tohmahan dan fitnah, masih tetap menyampaikan mesej yang jelas bahawa DAP adalah parti mesra Islam dan orang Melayu.

Jelas Kor Ming, “Apabila saya keluarkan kenyataan, maksud saya adalah sekiranya politik fanatik dan fahaman ekstremisme tidak dibendung, saya amat khuatir tanah air kita yang tercinta ini akan menjadi seperti taliban.

“Ini adalah maksud saya. Saya merujuk kepada fahaman ekstremis,” katanya sambil menambah kenyataan itu tidak merujuk secara khusus kepada UMNO dan PAS sebaliknya sikap sesetengah pemimpin kedua-dua parti tersebut yang cuba menyebarkan politik fanatik dan fahaman ekstremisme di kalangan rakyat.

MCA tuduh DAP anti-Cina

Selain serangan bertali arus daripada UMNO dan PAS, DAP juga tidak terlepas daripada dilabel oleh parti kaum Cina, iaitu MCA.

Menurut Kor Ming, MCA menuduh DAP anti-Cina, atas alasan DAP begitu mesra dengan masyarakat Islam. Ini gara-gara komitemen yang ditunjukkan DAP melalui pentadbiran di Pulau Pinang. Kerajaan Pulau Mutiara itu sejak mengambil alih tampuk pentadbiran kerajaan negeri telah menyalurkan sumbangan RM62 juta lebih, iaitu bersamaan tiga kali ganda daripada apa yang diperuntukkan BN bagi pembangunan Islam.

Malah, tambahnya, kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui DAP juga menaikkan pelbagai elaun, antaranya elaun untuk guru KAFA. Bukan itu sahaja, pelajar yang menghafaz Al-Quran juga diberikan insentif.

“Pelbagai dasar ini membuktikan bahawa pentadbiran DAP adalah mesra Islam.

“Malahan DAP menjaga Islam lebih daripada UMNO dan BN, sehingga DAP dikutuk oleh MCA hanya menjaga (kepentingan) orang Islam dan meminggirkan orang bukan Islam.

“Tapi di sebelah sini (UMNO) – oleh kerana politik talam dua muka – UMNO kutuk kita anti-Islam, MCA pula kutuk kita anti-Cina, ini bermaksud DAP adalah parti yang menjaga semua (kaum).

“DAP tidak anti-Islam dan tak anti-Cina, kita cuma anti rasuah sahaja. Ini adalah pendirian yang saya perlu tegaskan,” ujarnya.

‘Ustaz Nga Kor Ming’

“Sekarang orang panggil saya ustaz,” seloroh Kor Ming.

Katanya, gelaran itu diberikan penduduk di Teluk Intan, kawasan parlimennya.

Beliau sering memberikan sumbangan kepada masjid di Teluk Intan, malah menaja secara konsisten majlis berkhatan sejak 10 tahun lalu.

“Sejak saya jadi ahli parlimen, saya perlu tegaskan bahawa Nga Kor Ming adalah penaja utama program berkhatan di masjid-masjid, saya bukan anjurkan satu tahun, saya dah anjurkan selama 10 tahun.

“Dan saya adalah ahli parlimen DAP Malaysia yang pertama yang menjadi penaja di masjid. Sejak 2009, sampai tahun ini.

“Saya bagi tajaan. Guna duit sendiri. Dulu pembangkang mana ada peruntukan. saya potong gaji, untuk menjadi penaja majlis berkhatan,” ujarnya.

Kor Ming yang juga Yang Dipertua Dewan Rakyat tidak lokek dalam menyumbang peruntukan kepada masjid-masjid yang memerlukan.

“Tahun lepas, semenjak saya jadi Ahli Parlimen Teluk Intan. Peruntukan yang terbesar saya bagi adalah untuk masjid. Masjid At-Takwa, menghadapi masalah pemendapan tanah, 10 tahun tak selesai di bawah zaman BN.

“Dalam tempoh 10 bulan, saya siapkan peruntukan RM1.6 juta, bukankah ini mesra Islam? Minggu lepas lagi RM150,000 untuk masjid An-Naim Teluk Intan.

“Sekarang ada lagi. Tengah dalam proses, RM500,000, untuk masjid Taman Desa Bakti Teluk Intan. Tidak sampai satu tahun, Ustaz Nga Kor Ming – orang panggil saya ustaz sekarang – sudah beri lebih dua juta untuk pembangunan masjid sahaja.

“Sampai tokong marah saya, mengapa tokong bagi 20 ribu, tapi masjid bagi 2 juta,” katanya.

Kor Ming bimbang warisan Melayu digugat

Bagi Kor Ming, Kelantan mempunyai warisan budaya yang cukup unik. Beliau yang merupakan anak Kelantan dan dilahirkan di Kota Bharu begitu memandang tinggi warisan seni budaya Melayu khususnya Mak Yong dan Wayang Kulit yang diiktiraf sebagai warisan dunia oleh UNESCO.

Bagaimanapun, beliau menzahirkan rasa kesal kerana pentadbiran PAS masih tetap mengharamkan persembahan kesenian tersebut dengan memberikan takrifan mereka sendiri, tanpa mendengar pandangan yang lebih bersifat sederhana.

Sikap seumpama itu juga, katanya, membawa kepada budaya mentakfiri, seperti yang pernah dilakukan PAS terhadap DAP dengan melabel pemimpin DAP sebagai “kafir habri”.

“Kita mesti ambil jalan tengah iaitu konsep wasattiyah. Selaras dengan kitab suci Al-Quran. Nabi Muhammad ajar kita, kita harus berlandaskan hidup kita pada konsep wasattiyah,” ujarnya.

Kor Ming juga berpendapat bahawa PAS harus fokus kepada tadbir urus yang baik di Kelantan, daripada menghabiskan masa mentakfiri pihak lain yang tidak sehaluan dengan agenda politik mereka.

“PAS selama 30 tahun mentadbir Kelantan. Akhirnya apa jadi? Gagal bayar gaji. RM80 juta tidak dapat bayar gaji kakitangan awam kerajaan negeri, terpaksa buat pinjaman daripada kerajaan Persekutuan.

“Dia (PAS) patut fokus pada good governance (tadbir urus baik), ini adalah sebahagian daripada prinsip maqasid syariah.

“Tapi kita lihat Kelantan antara negeri termiskin, baru minggu lepas Kelantan disenaraikan sebagai negeri termiskin berbanding Sabah,” ujarnya.

DAP parti untuk semua kaum

Meskipun DAP dikafirkan oleh PAS (meskipun terdapat ramai ahli dan pemimpinnya dari kalangan Muslim belaka), dan dituduh sebagai komunis, DAP tetap teguh memperjuangkan dan membela nasib semua kaum.

“DAP adalah parti mesra Islam. Kami tidak mengkafirkan orang lain. Tidak. Tetapi kita berada di landasan untuk menegakkan keadilan.

“Dan kita (DAP) adalah untuk semua rakyat tanpa mengira bangsa dan agama. DAP adalah pilihan utama seluruh rakyat Malaysia. Saya sekarang ini lawan dengan fakta, semua ni fakta,” ujarnya. – Roketkini.com