Rencana

Isu FELDA: Najib cuba kelirukan rakyat

Sempena pembentangan kertas putih mengenai FELDA oleh kerajaan, saya ingin membuat sedikit ulasan mengenai isu FELDA.

Di bawah pentadbiran kerajaan Barisan Nasional pimpinan Datuk Seri Najib Razak, banyak projek mewah dan kontrak melambung (lavish projects and exaggerated contracts) telah dimeterai oleh FELDA.

Kebanyakan kontrak ini adalah punca masalah kewangan FELDA hari ini sehinggakan FELDA terpaksa mendapatkan bantuan kerajaan untuk memastikan ia boleh terus beroperasi dan tidak karam. Kerajaan sedang menimbang permohonan FELDA untuk mendapatkan suntikan dana berjumlah RM6 bilion demi membela nasib lebih 120,000 peneroka FELDA.

Untuk memahami masalah FELDA, kerajaan Pakatan Harapan telah mendapatkan khidmat firma akauntan Ernst & Young untuk melaksanakan audit forensik. FELDA juga telah mendapatkan khidmat firma guaman Lee Hishamuddin Allen & Gledhill. Penemuan oleh kedua-dua firma ini mengesahkan bahawa FELDA telah menjadi mangsa penipuan dan pelanggaran korporat.

Selaras dengan penemuan audit forensik, pada 8 April 2019, Ketua Pengarah FELDA, Datuk Dr. Othman Omar telah membuat dua laporan polis berkenaan Eagle High Plantation Investment (EHP) dan KL Vertical City Project (KLVC) yang menunjukkan berlakunya salah laku jenayah sehingga menyebabkan FELDA menanggung kerugian berbilion ringgit.

Sebagai Menteri Dalam Negeri saya telah mengarahkan pihak polis supaya menyiasat kes ini secara profesional tanpa rasa takut atau pilih kasih.

Najib telah mengeluarkan kenyataan dengan tujuan untuk mengelirukan orang awam terutamanya orang Melayu dan peneroka FELDA. Beliau mengatakan EHP adalah pelaburan strategik yang baik untuk FELDA dan negara.

Hakikatnya, adalah amat tidak strategik untuk membeli EHP pada harga 300% melebihi harga sebenar. Adalah amat tidak logik dan tidak masuk akal untuk mengatakan sedemikian. Apa yang dibeli oleh FELDA pada harga RM2.5 bilion dahulu hanya bernilai RM500 juta sekarang. FELDA kerugian RM2 bilion.

Najib juga mengatakan FELDA boleh menarik diri daripada pelaburan dalam EHP pada bila-bila masa dan membuat 6% keuntungan dengan adanya “Put Option”. FELDA telah cuba untuk melaksanakan “Put Option”yang dinyatakan oleh Najib tetapi telah dihalang daripada berbuat demikian.

Rajawali telah memulakan prosiding timbang tara terhadap FELDA di Singapura. Hakikatnya, FELDA tidak boleh melaksanakan “Put Option” dengan mudah seperti yang disebut oleh Najib. Ini fakta yang cuba diputarbelitkan oleh Najib.

Kita semua mengetahui bahawa dalam penipuan korporat, penyangak akan menyembunyikan tangan-tangan mereka dan memperlihatkan ia seperti satu transaksi komersil yang tulen. Kerajaan Pakatan Harapan komited untuk mendedahkan para penyangak yang telah menyebabkan FELDA menanggung kerugian dan membawa mereka ke muka pengadilan. Semua pihak yang terlibat mesti dipertanggungjawabkan di atas perbuatan salah laku mereka. – Roketkini.com

*Tan Sri Muhyiddin Yassin adalah Menteri Dalam Negeri merangkap Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia.