Berita

Nie Ching mahu jadikan DBP setaraf institut bahasa negara maju

Kementerian Pendidikan yang diterajui kerajaan Pakatan Harapan berhasrat untuk menjadikan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) sebagai pusat rujukan bahasa Melayu seperti mana institut bahasa lain di negara maju.

Kata Timbalan Menterinya, Teo Nie Ching, terdapat juga usaha untuk menjadikan DBP setaraf pusat bahasa lain seperti British Council di United Kingdom, Goethe Institute (Jerman) dan Nippon Institute (Jepun).

“Bahasa Kebangsaan akan diperkasakan di peringkat rantau ASEAN dan di persada dunia,” katanya seperti dipetik Bernama dalam ucapan Perasmian Sidang ke-58 Majlis Bahasa Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia (MABBIM) dan Seminar Kebahasaan di Kuala Lumpur, hari ini.

Tambah Nie Ching, pihaknya akan melipatgandakan usaha untuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama dunia dan menyeru agar semua pihak memainkan peranan dengan memantapkan penguasaan bahasa Kebangsaan itu.

“Ciri dan sifat bahasa Melayu yang fleksibel, menjadi satu ciri bahasa ilmu yang relevan dengan peredaran zaman sekaligus menjadi kekuatan untuk bahasa kita berkembang dengan bahasa-bahasa lain di dunia,” ujarnya.

Sidang ke-58 MABBIM anjuran DBP bertema ‘Bahasa Melayu/Indonesia sebagai Bahasa Utama Dunia’ berlangsung selama enam hari dan dijadualkan berakhir Sabtu ini.

MABBBIM ditubuhkan untuk merancang dan memantau perkembangan bahasa Melayu serta Indonesia, dianggotai Brunei, Indonesia dan Malaysia.

Sementara itu, Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim menyifatkan pengumuman itu sebagai perkara yang dinanti-nantikan sejak sekian lama.

“Usah hanya dendangkan slogan “bahasa jiwa bangsa”. Sudah tiba masanya martabat bahasa Melayu diangkat secara praktikal.

“Bahasa yang tinggi ialah bahasa yang mampu membawa ilmu yang tinggi.

“Ilmu yang tinggi hanya datang jika para pemikir dan cerdik pandai tidak dikongkong pemerintah,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.

Inilah yang ditunggu sejak sekian lama. Usah hanya dendangkan slogan “bahasa jiwa bangsa”. Sudah tiba masanya martabat…

Steven Simさんの投稿 2019年4月10日水曜日

Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa bahasa Kebangsaan akan menjadi “benar-benar hebat” di bawah pentadbiran PH. – Roketkini.com