Berita

‘Mana hilang pendekar Bugis?’ – Steven ajak Najib berbalas pantun

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim membalas hantaran yang dibuat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dengan beberapa rangkap pantun Melayu.

Steven mengambil pendekatan kreatif itu bagi menjawab tohmahan Najib yang mendakwa kononnya menjadi mangsa propaganda DAP.

Pantun itu dimuat naik di Facebook Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu dengan tanda pagar #PantunBattle #JanganTakBalas.

Makan cabai terasa pedas Meroyan pagi sampai ke petang Tuah badan bosskur membalas Berjuta masuk terlepas pandang…

Steven Sim Chee Keong 沈志强さんの投稿 2019年4月25日木曜日

Berikut merupakan rangkap pantun tersebut:

 

Makan cabai terasa pedas

Meroyan pagi sampai ke petang

Tuah badan bosskur membalas

Berjuta masuk terlepas pandang

 

Dulu Birkin kini bosskur

Haloba siapa mangsanya siapa

Dato Seri troll, saya pun akur

Dato Seri tegur, saya pun sapa

 

Kura-kura nak jadi angsa

Mana hilang si buah manggis

Pura-pura nak jadi mangsa

Mana hilang pendekar Bugis?

 

Minta belas mengelak mati

Bacul melayang beralih-alih

Yang hak jelas batil pun pasti

Empunya wayang tak usah dalih

 

Tuan menganyam tak pernah rampung

Dongeng didalang mendabik dada

Ibarat ayam riuh sekampung

Cumanya malang telur tiada

 

Terdahulu Najib, dalam hantaran di Facebook, mengulas laporan berita yang memuatkan kenyataan Steven yang mengingatkan orang ramai agar tidak berkongsi berita berunsur kebencian dan palsu di media sosial.

Menurut bekas Presiden UMNO itu, beliau kononnya menjadi mengsa propaganda Pakatan Harapan.

Najib kini sedang dibicarakan atas tiga tuduhan pecah amanah, satu tuduhan salah guna kuasa dan tiga tuduhan pengubahan wang haram berkaitan dana RM42 juta melibatkan bekas anak syarikat 1MDB, SRC International.

Terdapat puluhan tuduhan lagi yang akan dihadapi beliau di mahkamah. – Roketkini.com