Rencana

Hak pekerja terbela di bawah kerajaan Pakatan Harapan

Ini adalah kali pertama kita meraikan Hari Pekerja di bawah sebuah pentadbiran yang benar-benar mempedulikan hak pekerja. Pembaharuan yang telah dan sedang dijalankan oleh Kerajaan, termasuklah kenaikan gaji bulanan minimum kepada RM1,100 di seluruh negara bagi mempertingkatkan kesejahteraan rakyat, akan meningkatkan lagi kualiti pertumbuhan ekonomi kita di samping menjadikannya lebih inklusif.

Kerajaan ini sedar bahawa pekerja Malaysia hanya memperoleh gaji sebanyak 35% daripada KDNK pada tahun 2017. Ini lebih rendah daripada angka yang direkodkan di negara-negara maju. Pekerja-pekerja di Singapura dan Amerika Syarikat masing-masing menikmati 41% dan 43% daripada KDNK mereka. Ini adalah tahap yang patut dicapai Malaysia sekiranya kita mahu menjadi sebuah negara maju berpendapatan tinggi.

Kerajaan sedang merangka sebuah pendekatan berdasarkan pasaran untuk meningkatkan pendapatan graduan sambil menangani masalah pengangguran di kalangan belia dan graduan. Negara sedang mengalami perubahan struktur yang timbul akibat persaingan daripada negara-negara berkos rendah seperti Vietnam, anjakan teknologi digital dan Industri 4.0, serta pengenalan teknologi baharu yang berpotensi melenyapkan pekerjaan berproduktiviti rendah. Untuk melindungi golongan pekerja yang sedia ada daripada anjakan ini, pekerjaan baharu mesti diwujudkan.

Pihak Kerajaan sedang mengkaji dasar pendapatan bulanan tambahan (monthly income supplements) yang akan mengurangkan kos pengambilan pekerja oleh majikan sambil menggalakkan rakyat Malaysia bekerja pada kadar yang munasabah. Pada masa yang sama, kita harus mendedahkan pekerja kita kepada teknologi terbaharu seperti automasi, kecergasan buatan dan robot bagi meningkatkan produktiviti, daya saing dan gaji tempatan.

Penggalakan pelaburan ke dalam sektor-sektor baharu yang relevan kepada Industri 4.0 yang akan mencipta pekerjaan berkualiti tinggi juga sedang dijalankan oleh Kerajaan. Jumlah pelaburan langsung asing yang diluluskan telah meningkat 48% kepada RM80.5 bilion pada tahun 2018 berbanding RM54.5 bilion pada tahun 2017. Pelaburan ini dijangka akan mencipta kira-kira 50,000 pekerjaan baharu apabila projek-projek berkaitan disiapkan bermula tahun ini.

Walau bagaimanapun, bukan semua jenis pekerjaan diperlukan. Kita memerlukan pekerjaan yang membina dan bukannya yang memerangkap kita dalam sebuah kitaran kemiskinan yang akan meninggalkan kita di bawah dan di belakang. Kita memerlukan pekerjaan yang mendorong kepada kemakmuran bersama.

Jika kita mahu berjaya, kita perlu bekerjasama sebagai satu bangsa menolak sebarang usaha memecahbelahkan negara, serta penyebaran kebencian kaum dan agama. Kita akan hanya menikmati kemakmuran bersama sekiranya kita bersatu sebagai satu bangsa, termasuklah antara pekerja dan majikan, meraikan kepelbagaian, menghormati perbezaan, menggalakkan wanita untuk bekerja dan menegakkan hak-hak pekerja.

*Perutusan Hari Pekerja 2019 bertajuk “Melindungi pekerja daripada anjakan teknologi digital melalui pendapatan tambahan yang membantu mencipta pekerjaan baharu” Oleh Setiausaha Agung DAP aan Ahli Parlimen Bagan Lim Guan Eng di Kuala Lumpur pada 30 April 2019.