Berita

Henti kekang wacana rakyat, forum ilmiah berkaitan Statut Rom

Dua pemimpin muda DAP membantah tindakan polis menyiasat forum akademik berkaitan Statut Rom yang diadakan pada Sabtu lalu di Universiti Malaya mengikut Akta Hasutan.

Menurut Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan dantindakan itu bertentangan hasrat kerajaan Pakatan Harapan untuk membenarkan kebebasan akademik di institusi pengajian tinggi tempatan.

“Kami mengambil pendirian bahawa forum tersebut adalah suatu forum ilmiah untuk membincang isu berkaitan Statut Rom secara akademik, sejajar dengan usaha Kerajaan yang mahu membenarkan kebebasan akademik di institusi-institusi pengajian tinggi.

“Atas dasar ini, kami membantah tindakan PDRM untuk memulakan siasatan ini dan berpandangan forum ilmiah sebegini tidak wajar dibungkamkan melalui tindakan undang-undang kerana dilihat sebagai suatu usaha menghalang wacana rakyat mengenai isu Statut Rom,” katanya dalam kenyataan.

Mereka berkata demikian sebagai merujuk kenyataan Ketua Pol

is Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun bahawa polis telah memulakan siasatan ke atas forum bertajuk “Malaysia and the Rome Statute” mengikut Akta Hasutan. 

Statut Rom adalah satu treati (perjanjian) rasmi antara negara-negara dalam mengiktiraf Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC) sebagai pelengkap kepada undang-undang sedia ada negara pihak (state party) untuk mendakwa individu yang melakukan jenayah antarabangsa.

Sehingga 4 Mac, sebanyak 124 negara telah menjadi negara pihak kepada Statut Rom.

Malaysia menyertai Statut Rom pada 4 Mac lalu, namun menarik sebulan kemudian susulan daripada tentangan pelbagai pihak.

Ketua DAPSY Subang, Farhan Haziq Mohamed.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad semasa mengumumkan penarikan Malaysia daripada treati itu pada 5 April lalu berkata, ia dibuat bagi mengelak kekeliruan yang dicipta oleh individu tertentu dan penarikan itu dibuat bukan kerana perjanjian tersebut membahayakan negara.

Mahathir turut mendakwa terdapat percubaan untuk melibatkan raja-raja menentang kerajaan serta untuk memburuk-burukkan kerajaan PH dan diri beliau sendiri selaku perdana menteri, menggunakan isu Statut Rom dengan mendakwa kerajaan menyerahkan semua kuasa kepada pihak asing.

Gesa kerajaan mansuh Akta Hasutan

Mengulas lanjut, Syahredzan dan Farhan berkata, polis masih boleh menggunakan budi bicara untuk tidak meneruskan siasatan ke atas forum terbabit meskipun terdapat laporan polis.

“Mereka (pihak yang melapor) berhak untuk tidak bersetuju dengan Statut Rom tetapi mereka tidak wajar untuk mendesak PDRM supaya mengambil tindakan terhadap individu yang mengamalkan hak mereka untuk berdiskusi mengenai isu tersebut,” ujar mereka.

Mereka juga membantah tindakan polis menggunakan Akta Hasutan yang disifatkannya sebagai “undang-undang peninggalan penjajah yang zalim dan menekan”.

“PDRM sepatutnya menggunakan undang-undang lain yang sedia ada selain Akta Hasutan untuk membuat siasatan, sekiranya benar-benar perlu.

“Kami menggesa PDRM untuk menghentikan segala siasatan di bawah Akta Hasutan terhadap mereka yang terlibat dengan forum tersebut.

“Kami juga sekali lagi menggesa pihak Kerajaan untuk mempercepatkan usaha untuk memansuhkan Akta Hasutan seperti yang telah dijanjikan di dalam manifesto Pakatan Harapan,” ujar mereka lagi. – Roketkini.com