Berita

Guan Eng akan bertemu Dr Asri jelaskan hakikat DAP martabat Islam

Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim menegaskan bahawa DAP menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan seperti yang termaktub dalam Perlembagaan negara.

Penegasan itu dibuat pemimpin DAP berkenaan bagi menjawab kenyataan Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin yang menyentuh mengenai Islam dan DAP.  

“Saya telah menghubungi Mufti Negeri Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, dan berbicara berkenaan laporan media baru-baru ini yang kononnya memetik kenyataan beliau tentang DAP dan Islam.

“Dr Asri telah memberitahu saya bahawa kenyataan yang dilaporkan media adalah berlainan daripada apa yang beliau katakan sebenarnya,” kata Steven dalam kenyataan hari ini

Katanya lagi, DAP bersedia menerima teguran dan nasihat demi kebaikan bersama, namun menjadi tugas parti untuk menolak fitnah pembangkang selama ini kononnya ia menentang syiar dan syariat Islam

Tambah beliau, Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng juga telah menjemput Asri untuk bertemu serta berbincang mengenai isu tersebut dan telah disambut baik oleh mufti berkenaan.

“Saya berharap semoga silaturahim antara DAP dan Dr Asri dapat dikekalkan dengan meneruskan perbincangan, dialog dan persefahaman sesama kita,” ujar Steven.

Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Steven Sim

DAP martabat syiar Islam

Dalam pada itu, Steven turut menyorot pelbagai peruntukan yang telah disalurkan kerajaan negeri Pulau Pinang serta Putrajaya dalam memartbatkan syiar Islam di negara ini.  

Sebagai contoh, di Pulau Pinang, katanya, peruntukan untuk hal ehwal Islam telah meningkat berkali-kali ganda berbanding zaman pentadbiran Barisan Nasional.

Negeri Pulau Mutiara yang dipimpin Ketua Menteri dari DAP itu juga turut membangunkan industri hahal dengan menyediakan kawasan seluas 100 ekar sebagai Hab Halal.

“Antara kejayaan dasar-dasar ini termasuklah penambahan bilangan huffaz daripada 103 orang pada 2008 kepada 600 orang pada masa kini, iaitu sebanyak 482% dalam tempoh sepuluh tahun.

“Kita juga berbangga apabila pelajar-pelajar Islam di Pulau Pinang memperoleh pencapaian KAFA terbaik di seluruh Malaysia bagi tahun 2017 dan 2018.

“Kini kerajaan negeri juga sedang membangunkan perpustakaan digital Islam pertama di rantau Asia Tenggara,” ujar Steven yang juga Setiausaha Publisiti DAP Pulau Pinang.

Di peringkat Persekutuan pula, katanya, Belanjawan yang dibentangkan oleh Menteri Kewangan, Lim Guan Eng telah menyalurkan peruntukan tambahan sebanyak RM100 juta bagi hal ehwal Islam.

Ia meningkat daripada RM1.1 bilion pada 2018 kepada RM1.2 bilion pada 2019.

“Selain itu, kerajaan persekutuan juga turut memperuntukkan RM25 juta kepada sekolah agama rakyat, dan RM25 juta lagi kepada sekolah-sekolah pondok berdaftar.

“Kedua-dua institusi ini tidak mendapat sebarang peruntukan dalam Bajet 2018 di bawah kerajaan Barisan Nasional.

“Tambahan lagi, RM50 juta juga diperuntukan untuk 815 buah sekolah tahfiz berdaftar di seluruh negara,” katanya.

Tahun ini, katanya, Kementerian Kewangan juga menyalurkan RM5 juta kepada Kompleks Nasyrul Quran untuk kerja-kerja mencetak kitab suci Al-Quran.

Malah, katanya, institusi agama Islam juga dibela apabila Tabung Haji menyuntik dana berjumlah RM17.8 bilion demi memulihkan Tabung Haji selepas penyelewengan oleh kerajaan terdahulu.

“DAP senantiasa menghormati kedudukan agama Islam sebagai agama Persekutuan berdasarkan Perlembagaan negara.

“Namun begitu, DAP sering difitnah oleh pihak pembangkang sebagai anti-Islam, sedangkan kleptokrat dan perasuah negara pula disanjung oleh mereka,” ujarnya. – Roketkini.com