Rencana

Persidangan Parti DAP 2019: Ucapan Aluan Pengerusi DAP Kebangsaan Tan Kok Wai

Saudara/Saudari Speaker,

Salam Sejahtera, Salam Harapan dan Salam Sayangi Malaysiaku kepada semua dif-dif jemputan, Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Presiden Parti Amanah Negara, Mohamad Sabu, serta wakil-wakil parti komponen Pakatan Harapan, Ahli-ahli Jawatankuasa Tertinggi DAP, para perwakilan dan pemerhati, saudara dan saudari sekalian.

Kita berkumpul pada hari ini dengan tujuan untuk meraikan dan melaksanakan Persidangan Parti 2019 yang sudah memasuki episod baru lanskap politik negara selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang mana gabungan parti-parti Pakatan Harapan telah melakar sejarah baharu berjaya membentuk Kerajaan Persekutuan Malaysia.  

Tanggal 9 Mei 2018, yang menyaksikan kemenangan Pakatan Harapan dalam PRU14 adalah detik penuh bersejarah buat seluruh rakyat Malaysia. Impian untuk melihat sebuah Malaysia Baharu diwujudkan akhirnya tercapai. Setelah hampir 52 tahun berjuang demi kebebasan dan keadilan, DAP kini boleh berbangga menjadi sebahagian daripada Kerajaan Persekutuan, bersama-sama rakan sekutu Pakatan Harapan, iaitu Amanah, Bersatu dan Keadilan.

Tanggal 9 Mei 2018 juga menjadi simbol kepada tamatnya sebuah pentadbiran kleptokratik yang diterajui Barisan Nasional. Gabungan parti yang memerintah selama 61 tahun itu telah hilang kredibiliti dan membawa nama Malaysia ke kancah kehinaan lantaran gejala rasuah, penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan yang berleluasa dalam kalangan pemimpin-pemimpin mereka. Ini ditambah dengan kelemahan tadbir urus sehingga menyebabkan keyakinan komuniti antarabangsa khususnya pelabur asing terhadap kemampuan negara untuk memangkin pertumbuhan ekonomi semakin merudum.

Akibatnya, rakyat pula semakin terbeban dengan kenaikan kos sara hidup yang tinggi selain pelaksanaan dasar seperti GST yang menambah lagi beban kewangan yang perlu dipikul rakyat kebanyakan. Semua ini berpunca daripada tangan-tangan tidak amanah dan khianat pemimpin-pemimpin Barisan Nasional terhadap hasrat rakyat yang mengimpikan sebuah Malaysia yang makmur.

Namun, semua ini berubah pada 9 Mei. Rakyat pelbagai kaum dan agama bersatu hati menggunakan kuasa undi secara demokratik menyingkirkan Barisan Nasional dari tampuk pemerintah negara. Tindakan ini memerlukan keberanian yang jitu dan keazaman yang kuat. Untuk itu, dengan rendah hati saya ucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia yang mengundi perubahan kerana anda semua sememangnya berada di landasan sejarah yang tepat.

Kejayaan hari ini juga tidak akan tercapai tanpa pengorbanan pemimpin terdahulu. Oleh itu, saya menjemput semua hadirin berdiri untuk bertafakur selama seminit bagi memperingati pemergian Pengerusi DAP Sabah, mendiang Stephen Wong yang telah banyak menyumbang bakti dan berjuang untuk warga Sabah khususnya.

Hadirin yang saya hormati sekalian,

Pelaksanaan manifesto

Kemenangan yang dicapai Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum ke-14 yang lalu tidak hanya sekadar bersandar kepada kemarahan rakyat terhadap kegiatan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa oleh pemimpin-pemimpin Barisan Nasional semata-mata. Tidak dapat tidak, kita harus akui bahawa kemenangan itu turut dipacu oleh kemahuan rakyat untuk melihat sebuah Malaysia Baharu yang lebih demokratik, adil dan makmur. Perubahan dan reformasi yang dijanjikan Pakatan Harapan dalam manifesto Buku Harapan turut menjadi daya penarik untuk rakyat pelbagai kaum dan agama bersatu hati memilih Pakatan Harapan bagi menerajui Putrajaya.

Dalam tempoh hampir setahun Pakatan Harapan mentadbir, telah banyak pelaksanaan janji dalam manifesto Buku Harapan sudah ditunaikan. Sehingga kini, para pimpinan Pakatan Harapan terus giat dan beriltizam untuk merealisasikan harapan rakyat seperti yang termaktub dalam manifesto. Namun, diakui terdapat persepsi yang cuba dimainkan sesetengah pihak bahawa Pakatan Harapan tidak menunaikan janji. Persepsi ini dimanipulasi tanpa mengambil kira hutang besar yang terpaksa diwarisi oleh kerajaan Pakatan Harapan ekoran ketirisan yang berlaku ketika zaman pentadbiran rejim Barisan Nasional.

Perlu diakui juga bahawa janji kempen pilihan raya mudah diucapkan, namun kadangkala sukar untuk dilaksanakan, lebih-lebih lagi mengambil kira situasi kewangan  semasa negara. Namun, di bawah pentadbiran Pakatan Harapan, janji tidak akan tinggal janji. Ia akan ditunaikan meskipun apa jua rintangan yang terpaksa dihadapi. Manifesto adalah muafakat yang dicapai bersama dan harus ditunaikan. Perlu diingat juga bahawa perjuangan adalah pelaksanaan kata-kata.

Saudara dan saudari yang dikasihi,

Fitnah jahat UMNO-PAS

Selain memainkan persepsi bahawa kerajaan Pakatan Harapan kononnya tidak berpegang pada janji pilihan raya, pihak pembangkang khususnya UMNO dan PAS terus menangguk di air keruh dengan mempergunakan sentimen kaum dan agama sebagai senjata dan muslihat mereka. Pemimpin-pemimpin Barisan Nasional tidak berani untuk bercakap tentang pembanterasan rasuah kerana ia akan dilihat seolah-oleh meludah ke langit akhirnya kembali ke muka sendiri.

Seperti biasa DAP menjadi sasaran mudah. Namun, serangan demi serangan oleh UMNO dan PAS tidak menggugat pendirian DAP sebagai sebuah parti berbilang kaum. DAP akan tetap menjunjung keluhuran Perlembagaan Persekutuan sebagai undang-undang tertinggi di dalam negara, bersama-sama semangat kemajmukan di dalamnya.

Perjuangan DAP tidak mengenal warna kulit dan agama, apatah lagi wilayah. DAP turut memperjuangkan nasib rakyat Sarawak dan Sarawak. Ini dapat dilihat menerusi pembentangan usul untuk meminda Perlembagaan bagi mengembalikan status rakan kongsi Sabah dan Sarawak. Usaha murni Pakatan Harapan ini hancur lebur di tangan pemimpin PBS. Harapan rakyat Sarawak dan Sabah musnah.

DAP sebagai sebuah parti Malaysia berjuang atas semangat Malaysia untuk rakyat Malaysia tanpa mengira wilayah. Malaysia juga adalah tanah air buat warga Sabah dan Sarawak. Meskipun, usaha kita di Parlimen telah digagalkan oleh pihak lawan, saya akan tetap berpegang teguh kepada pendirian bahawa DAP tidak akan berganjak dari terus memperjuangkan hak-hak saudara dan saudari kita di Sabah dan Sarawak.

Saudara dan saudari,

Malaysia Baharu

Lawan kepada sentimen adalah hujah dan fakta. Kerajaan baru Pakatan Harapan perlu menangkis fitnah pembangkang UMNO-PAS dengan menunjukkan prestasi yang lebih baik dan cemerlang berbanding pentadbiran terdahulu.

Justeru itu, kerajaan baru Pakatan Harapan beriltizam untuk memandu Malaysia ke arah visi baru yang berasaskan keadilan sosial dan ekonomi, bagi mengangkat kembali martabat serta maruah negara di mata dunia dan seterusnya menjadi sebuah negara yang disegani masyarakat antarabangsa.

Apakah faktor yang menjadikan sesebuah negara itu hebat dan berkuasa? Apakah yang menyebabkan rakyat sesebuah negara itu bersatu padu, harmoni, makmur dan bahagia? Apakah yang membawa keuntungan kepada perniagaan dan pelaburan? Jawapannya mudah. Bukan kerana kekayaan sumber asli, bukan juga kerana kurangnya bencana alam.

Jawapannya adalah tadbir urus yang baik. Sebuah kerajaan yang bersih, terhindar dari rasuah dan ketirisan, efisyen, diyakini, telus, mempunyai integriti dan moral yang tinggi, tidak menyalahgunakan kuasa demi kepentingan peribadi, sebuah kerajaan yang melaksanakan pembahagian kekayaan secara adil dan saksama, sebuah negara yang tidak mencuri hasil mahsyul negara dan membebankan rakyat dengan dasar yang menyusahkan, sebuah negara yang mewujudkan suasana harmoni antara kaum dan agama, sebuah kerajaan yang menegakkan politik kemajmukan dan kesederhaaan, membuka ruang kepada media bebas dan memelihara kebebasan bersuara, mencintai alam sekitar, prihatin kepada golongan yang kurang bernasib baik, mesra perniagaan dan komited dalam menunaikan janji untuk melakukan perubahan politik dan institusi serta berusaha menggurangkan bebanan kewangan rakyat.

Kita perlu berpegang kepada tekad untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang terkenal dengan integriti serta tadbir urus yang baik, dan bukannya sebuah negara yang menggalakkan budaya rasuah seperti pentadbiran terdahulu!

Bagi mengekang suara-suara perpecahan di negara tercinta ini, rakyat Malaysia tanpa mengira kaum, agama, dan latar politik harus bersatu padu melawan gerakan jahat yang cuba memainkan api perkauman dan segala bentuk ekstremisme semata-mata untuk melihat Malaysia menjadi sebuah negara gagal dan berpecah belah.

Hanya dengan semangat bersatu padu, kita mampu mewujudkan sebuah Malaysia Baharu yang gemilang bagi merawat luka parah yang ditinggalkan rejim terdahulu.

Teman-teman yang dikasihi,

Ekonomi kita kini berada pada landasan yang tepat setelah pelbagai langkah penjimatan dan perbelanjaan bijak dilaksanakan kerajaan.

Hasil daripada langkah itu, Keluaran Negara Dalam Kasar (KNDK) negara mengalami pertumbuhan yang perlahan. Ia harga yang perlu dibayar untuk memulihkan semula ekonomi negara selepas dimusnahkan oleh pentadbiran terdahulu.

Ya, ia mungkin ubat yang pahit untuk ditelan, namun terpaksa dihadam bagi mengubati sakit yang ditinggalkan rejim terdahulu. Pertumbuhan yang perlahan ini tidak akan kekal selamanya. Ia akan membuahkan hasil yang rendang, dahan yang kukuh untuk ekonomi Malaysia kembali di landasan yang tepat bagi tempoh masa panjang.

Akhir kata, saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan selamat ulang tahun yang pertama pentadbiran Pakatan Harapan di Putrajaya. Tidak lupa juga selamat ulang tahun yang pertama Malaysia Baharu kepada semua rakyat Malaysia, tak kira kaum, agama, latar politik dan wilayah.

Saya juga ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan Selamat Berpuasa kepada semua umat Islam.

Sekian, terima kasih. – Roketkini.com